TAIPING – Seorang lelaki cedera di kaki kiri ketika melakukan aktiviti mendaki di Bukit Larut pada ketinggian 100 meter di sini, pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.42 pagi bagi mendapatkan bantuan menyelamat mangsa yang mengalami kecederaan di atas bukit.
Menurutnya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping tiba di lokasi kejadian kira-kira empat minit kemudian.
“Mangsa yang menyertai aktiviti mendaki bersama empat lagi ahli kumpulan berada kira-kira 1.5 kilometer dari laluan masuk dan anggota bomba terpaksa berjalan kaki untuk sampai ke lokasi mangsa.
“Ketua operasi kemudian memaklumkan anggota berjaya menemui mangsa berusia 36 tahun itu yang mengalami kecederaan pada bahagian kaki kiri sehingga menyukarkannya untuk bergerak,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, ketua operasi melakukan penilaian awal sebelum mengarahkan anggota menjalankan kerja-kerja menyelamat.
“Anggota bomba memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum membawanya turun menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan dan rawatan lanjut.
“Operasi yang turut dibantu anggota BBP Kamunting itu tamat sepenuhnya pada jam 10.34 pagi,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


