KUALA KANGSAR – Dalam era pemerintahan moden, tanggungjawab kepimpinan menuntut komitmen untuk menjunjung Perlembagaan, memelihara keluhuran undang-undang, memastikan keadilan dalam pentadbiran serta menjamin kesejahteraan rakyat.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, nilai dan semangat yang terkandung dalam warisan diraja seperti Pedang Cura Si Manja Kini dan Keris Taming Sari perlu terus dihayati sebagai pedoman dalam mendepani cabaran pemerintahan serta perubahan dunia masa kini.
Baginda bertitah, roh Pedang Cura Si Manja Kini membawa peringatan mengenai beratnya amanah yang perlu dipikul oleh setiap penyandang takhta, khususnya dalam memastikan keistimewaan dan kuasa yang diwarisi disertai tanggungjawab terhadap rakyat.
“Kuasa wajib disempurnakan secara adil, pertimbangan wajib berpandukan hikmah, dan keputusan wajib menimbangkan kesejahteraan rakyat. Ketajaman bilah mengingatkan kita supaya tajam membezakan kebenaran daripada kepalsuan.
“Keteguhan genggaman mengingatkan kita supaya teguh memegang amanah; sarungnya yang memelihara bilah, mengajak kita memahami pentingnya adab dan kawalan diri ketika memiliki kuasa dan kekuatan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-70 Sultan Nazrin di Istana Iskandariah di sini pada Ahad.
Sementara itu, Sultan Nazrin bertitah, Keris Taming Sari pula boleh diterjemahkan sebagai keberanian dalam mempertahankan maruah, menegakkan keadilan, menyuarakan kebenaran, menolak rasuah dan membela mereka yang teraniaya.
“Keberanian turut bererti, kesediaan menerima teguran, mengakui kelemahan serta melakukan pembaharuan demi kepentingan rakyat,” titah baginda.
Baginda bertitah, kedua-dua pusaka berkenaan bukan sekadar lambang kebesaran diraja, sebaliknya membawa nilai kepimpinan yang perlu terus dijadikan asas dalam membina negeri yang adil, stabil dan sejahtera.
“Pedang Cura Si Manja Kini dan Keris Taming Sari hendaklah terus dijadikan peringatan bahawa takhta dimuliakan dengan keadilan, kehormatan jawatan terletak pada amanah, kesetiaan diperkukuh dengan kepercayaan, kekuatan negeri berakar pada kepercayaan rakyat, dan negeri disejahterakan melalui muafakat raja dengan rakyat.
“Warisi pusaka, hayati rohnya dan hidupkan semangatnya. Sesungguhnya relevansi pusaka bangsa bergantung pada keupayaan dan kesungguhan kita menghidupkan pengajarannya.
“Pedang dan keris diwarisi sebagai alat kebesaran, sementara keberanian, keadilan dan amanah dihidupkan sebagai pedoman membina masa hadapan negeri beraja, rakyat bersultan,” titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Nazrin turut menzahirkan penghargaan kepada Raja Muda, Raja Di Hilir, kerabat diraja, Orang Besar, Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta seluruh jentera pentadbiran dan masyarakat yang bersama-sama membantu membangunkan Perak dalam suasana aman dan sejahtera. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
KSU NRES, Exco, antara 218 penerima darjah, pingat kebesaran Perak


