GOPENG – Seramai 205 pesawah di Kerian mengalami kerugian berjumlah RM259,734 selepas kawasan penanaman padi seluas 296.5 hektar milik mereka terjejas akibat banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL).
Pengarah Pertanian Perak, Norsiyenti Othman berkata, Jabatan Pertanian Negeri Perak sedang menjalankan bancian bagi mengenal pasti jumlah keseluruhan kawasan tanaman padi dan pesawah yang terjejas akibat bencana itu.
Menurutnya, hasil bancian awal berkenaan akan dibawa ke mesyuarat peringkat negeri bagi mendapatkan kelulusan bantuan menerusi Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) bagi membantu meringankan petani dan pesawah yang terjejas.
“Bagaimanapun, jumlah pesawah terjejas dijangka meningkat berikutan keadaan hujan berterusan sejak kebelakangan ini, selain beberapa kawasan lain termasuk Hilir Perak dan Seberang Perak turut mula terkesan.
“Sekarang disebabkan jumlah hujan yang agak tinggi, kita perhatikan tiap-tiap hari dan selalunya melebihi tiga atau empat jam, jadi memang kawasan ini terjejas.
“Mungkin nombor ini akan naik sebenarnya. Ini bancian awal kami, kalau bancian yang lengkap nanti saya rasa lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian program Junior Food Security Innovation Challenge (J-SinC 3.0) 2026 dan Pelancaran Buku Hijau yang disempurnakan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah di Dewan Terbuka Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, di sini hari ini.

Norsiyenti turut mengingatkan petani dan pesawah yang terjejas supaya segera melaporkan kejadian banjir kepada Pejabat Pertanian berhampiran atau ibu pejabat Jabatan Pertanian bagi membolehkan tindakan susulan dan permohonan bantuan diselaraskan.
Katanya, jabatan turut menyediakan nombor bilik gerakan yang telah diuar-uarkan menerusi media sosial bagi memudahkan petani membuat laporan serta mengemukakan permohonan bantuan bencana.
“Bagi tanaman selain padi yang mengalami kerosakan akibat banjir, petani juga digalakkan membuat laporan dan mengemukakan permohonan kepada Jabatan Pertanian untuk tindakan lanjut.
“Petani yang mengalami kemusnahan tanaman akibat serangan haiwan liar seperti gajah supaya segera menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi membuat permohonan bantuan bencana,” ujarnya.
Tambahnya, Jabatan Pertanian akan membantu membuat pengesahan dan sokongan terhadap permohonan berkenaan sebelum dikemukakan untuk kelulusan di peringkat negeri.
Beliau turut menasihatkan petani dan pesawah supaya sentiasa memantau keadaan tanaman serta mengambil langkah bersesuaian bagi mengurangkan risiko kerosakan, selain segera melaporkan sebarang kejadian bencana supaya bantuan dan langkah mitigasi dapat disalurkan.
Pada 2025, seramai 406 petani dan pesawah menerima bantuan RM1.028 juta membabitkan kemusnahan tanaman seluas 458.68 hektar dengan bayaran bantuan berkenaan telah selesai disalurkan kepada penerima melalui akaun masing-masing setakat 31 Disember lalu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
RMK13 pacu pembangunan padi Perak dengan peruntukan RM31 juta


