Raja Di Hilir Perak berkenan sempurna penutupan BRainS 2026

GERIK – Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Penutup Persidangan Belum Rainforest (BRainS) 2026 di Belum Rainforest Resort, Pulau Banding, di sini, pada Selasa.

Keberangkatan baginda disambut oleh Orang Besar Jajahan Hulu Perak, Datuk Meor Roslan Meor Ahmad Rashidi; Pegawai Daerah Hulu Perak Mohamad Fitri Hassan dan Penasihat Pulau Banding Foundation (PBF), Datuk Fazwinna Mustapha Kamal.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah PBF, Datuk Prof Emeritus Dr Abdul Latiff Mohamed.

Raja Iskandar Dzurkarnain kemudiannya berkenaan melafazkan perasmian penutupan BRainS 2026 sebelum menerima Resolusi BRainS 2026 yang diserahkan Dr Abdul Latiff.

Baginda seterusnya menyampaikan anugerah khas kepada empat penerima didahului Pengarah, Institut Antarabangsa Teknologi dan Kelestarian Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Prof. Madya Ts. Dr. Muhammad Abdul Latiff yang menerima ‘Best Oral Presentation Award’.

Turut menerima anugerah adalah Thi Bee Kin dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) (Outstanding Rainforest Research Award); Batin Orang Asli Kampung Sungai Raba RPS Banun, Muhammad Askee Ali (Community Impact in Conservation Award) dan Belum Forest Friends (BFF), Muhammad Afif Syazani Rozani (Youth Voice and Impact Award).

Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Penutup Persidangan Belum Rainforest (BRainS) 2026 di Belum Rainforest Resort, Pulau Banding, Gerik. Foto SYAKIR YUSOF, 17 NOVEMBER 2026

Sementara itu, Abdul Latiff dalam ucapan beliau berkata, BRAINS merupakan platform yang diwujudkan oleh PBF bagi menghimpun para ilmuwan, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, sektor swasta dan pihak berkepentingan dalam berkongsi pengetahuan serta mencari penyelesaian bersama demi masa hadapan Belum–Temengor.

Beliau berkata, bermula pada 2016, diikuti pada 2018, penganjuran BRAINS terpaksa terhenti akibat pandemik COVID-19.

“Alhamdulillah, setelah lapan tahun, BRAINS kembali pada tahun 2026 dengan satu tekad yang lebih jelas, iaitu memastikan ilmu dan hasil penyelidikan dapat diterjemahkan ke dalam tindakan pemuliharaan yang berkesan.

“Sepanjang persidangan ini, para peserta telah membincangkan empat bidang utama yang menjadi asas kepada cadangan Resolusi Pemuliharaan Belum–Temengor 2026,” katanya.

Tambahnya, keempat-empat bidang utama berkenaan adalah pemuliharaan hidupan liar dan biodiversiti; pengukuhan kerjasama dan tadbir urus; penglibatan masyarakat setempat dan Orang Asli dan kesejahteraan melalui alam semula jadi.

Berlangsung dari 15 hingga 19 November 2026 BRainS menghimpunkan kira-kira 80 orang delegasi yang terdiri daripada penyelidik, wakil kerajaan, ahli akademik, penggiat pemuliharaan dan pemain industri.

Matlamat utama persidangan ini adalah untuk merangka pendekatan bersama bagi melindungi Kompleks Hutan Hujan Belum Temengor, selain memastikan perbincangan dan perkongsian ilmu diterjemahkan kepada pelan tindakan yang konkrit, bukan sekadar menghasilkan penerbitan ilmiah.

Persidangan ini dianjurkan oleh Pulau Banding Foundation (PBF) dengan kerjasama akademik daripada UMK Tropical Rainforest Research Centre (UMK-TRaCe), berteraskan tema ‘Shaping the Future of Belum–Temengor and Rainforests Beyond’. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI