UPSI guna sepenuhnya MyQ ISO, jimat 600 rim kertas dalam audit SIRIM

TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencipta satu lagi pencapaian dalam transformasi digital apabila menggunakan sepenuhnya Sistem MyQ ISO bagi pelaksanaan Audit Pensijilan MS ISO 9001:2015 oleh SIRIM untuk tahun 2026.

Pengarah Bahagian Pengurusan Kualiti (BPQ), Ts Dr Muhammad Modi Lakulu berkata, pelaksanaan audit selama dua hari bermula 12 hingga 13 November lalu itu adalah satu langkah penting dalam memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan kecekapan pengurusan kualiti universiti.

Menurutnya, penggunaan sistem yang dibangunkan secara dalaman oleh BPQ itu membolehkan keseluruhan proses audit dilaksanakan secara dalam talian tanpa bergantung kepada dokumentasi fizikal seperti amalan sebelum ini.

“Antara kelebihan utama MyQ ISO ialah keupayaannya menjana laporan analitik deskriptif bagi Laporan Ketidakakuran (NCR) dan Peluang Penambahbaikan (OFI) secara automatik dalam tempoh kurang satu minit.

“Jika sebelum ini proses audit memerlukan penyediaan timbunan dokumen fizikal serta mengambil masa yang panjang untuk dianalisis, penggunaan MyQ ISO membolehkan proses berkenaan dilaksanakan dengan lebih pantas, sistematik dan efisien.

“Sepanjang tempoh audit, semua pengguna termasuk juruaudit, auditi dan urus setia menggunakan sistem ini sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, integrasi MyQ ISO dengan sistem teras universiti seperti MyGURU, UniHRIS, MySIS dan MyRIMS turut membolehkan juruaudit mengakses dokumen sokongan serta bukti audit secara masa nyata.

Jelasnya, kemudahan itu bukan sahaja mempercepatkan proses pengauditan, malah meningkatkan integriti, ketelusan dan kebolehpercayaan pengurusan data universiti.

Dalam pada itu, Mohammad Modi berkata, inovasi menerusi modul penyimpanan digital fail Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) serta penyelidikan turut menjadi antara kelebihan sistem berkenaan.

Ujar beliau, ia membolehkan pensyarah memuat naik dokumen berkaitan secara terus ke dalam sistem serta mengurangkan beban kerja manual, termasuk keperluan mencetak dan menyusun ribuan dokumen bagi tujuan audit.

“Lebih membanggakan, pelaksanaan audit digital itu turut menyumbang kepada agenda kelestarian kampus apabila UPSI menganggarkan penjimatan sebanyak 600 rim kertas A4 bagi kitaran audit berkenaan,” ujarnya.

Katanya, pencapaian itu membuktikan penggunaan teknologi bukan sahaja meningkatkan produktiviti organisasi, malah menyokong komitmen universiti terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya dalam aspek pendidikan berkualiti dan pembangunan infrastruktur lestari.

“Maklum balas positif turut diterima daripada pihak berkepentingan berikutan kelancaran proses audit yang berlangsung di kedua-dua kampus UPSI, malah tempoh penyediaan dokumen oleh audit yang sebelum ini boleh mengambil masa sehingga empat minggu berjaya dipendekkan kepada hanya seminggu.

“Keupayaan papan pemuka atau dashboard dalam memantau status NCR dan OFI secara langsung juga membolehkan pihak pengurusan tertinggi serta urus setia BPQ mengambil tindakan pembetulan dengan lebih pantas dan proaktif,” katanya.

Mengulas mengenai hala tuju sistem itu, beliau berkata, UPSI merancang memperluas penggunaan MyQ ISO bukan sahaja bagi audit dalaman ISO, malah sebagai sokongan kepada proses akreditasi program akademik oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Sistem yang turut memperoleh pengiktirafan hak cipta daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) itu mempunyai potensi untuk diperluas dan direplikasi di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain.

“Justeru, kejayaan pelaksanaan MyQ ISO membuktikan keupayaan UPSI memanfaatkan inovasi digital dalam memperkukuh pengurusan kualiti institusi serta meletakkannya sebagai antara peneraju transformasi digital dalam pengurusan sektor pendidikan tinggi negara,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

UPSI terima Proton e.MAS 7, perkukuh pembelajaran teknologi EV

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI