Polis tahan ibu, teman lelaki bantu siasatan kes bayi ditikam

IPOH – Polis menahan seorang wanita dan teman lelakinya bagi membantu siasatan kes kematian seorang bayi perempuan yang dipercayai ditikam selepas dilahirkan sebelum mayatnya ditanam di kawasan belakang sebuah rumah di Pantai Remis, Beruas, Sabtu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, siasatan awal mendapati wanita berusia 19 tahun itu dipercayai telah menikam bayi yang baru dilahirkannya di bahagian dada.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku pada hari sama bayi berkenaan dilahirkan kira-kira jam 1 tengah hari, 14 November lalu.

“Bayi itu ditikam di bahagian dada sebanyak dua kali dan polis sudah berjaya memperoleh senjata iaitu pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati, selepas bayi itu dibunuh, wanita terbabit dipercayai telah meminta teman lelakinya untuk membantu menanam mayat bayi berkenaan di belakang rumah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, pada Khamis.

Mohd Alwi berkata, perkara terbabit bagaimanapun terbongkar selepas wanita itu memaklumkan kejadian berkenaan kepada seorang rakannya.

Ujar beliau, rakan yang berasa bersalah kemudian tampil membuat laporan polis, sekali gus membawa kepada pembongkaran kejadian itu.

Kata Mohd Alwi, kedua-dua suspek telah direman bermula 18 hingga 23 November ini bagi membantu siasatan.

Mengulas mengenai kemungkinan motif kejadian, beliau berkata, perkara itu masih dalam siasatan dan polis tidak menolak kemungkinan wanita terbabit akan dirujuk untuk pemeriksaan psikiatri.

“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kita mungkin akan menghantar suspek untuk mendapatkan rawatan atau menjalani pemeriksaan psikiatri,” katanya.

Beliau berkata, bayi perempuan berkenaan merupakan anak tunggal wanita terbabit dan pihak polis percaya suspek wanita dalam kes ini masih dalam tempoh berpantang ketika kejadian. – MG PERAK

 

Artikel Berkaitan:

Wanita dipenjara tiga bulan, didenda kerana sembunyi kelahiran bayi

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI