Banjir Perak: Jumlah mangsa menurun kepada 623 orang

IPOH – Jumlah mangsa banjir di Perak menurun kepada 623 orang daripada 220 keluarga di lima daerah, yang ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS), setakat pukul 8 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan, daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 155 mangsa daripada 22 keluarga yang ditempatkan di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Hampar dan SK Matang.

Menurutnya, penduduk yang terjejas banjir di daerah itu termasuklah Kampung Berjaya, Sungai Rotan, Kampung Batu 23 dan Kampung Matang.

“Di Kerian pula, seramai 148 mangsa daripada 48 keluarga ditempatkan di dua PPS iaitu SK Bukit Merah SK Parit Haji Aman melibatkan penduduk dari belakang gerai dan di tepi kolam Bukit Merah, Parit Ali Kalang, Parit Air Hitam, Kampung Padang Lalang, Tanjung Bugis, Parit 3 Alor Setanggok dan Kampung Tebuk Panchor.

“Selain itu, seramai 12 mangsa daripada tiga keluarga yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh turut ditempatkan di SK Bukit Merah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, di Manjung, seramai 131 mangsa daripada 39 keluarga masih berlindung di PPS di Sekolah Rendah Agama Rakyat Padang Serai membabitkan penduduk dari Kampung Padang Serai, Kampung Kasi, Kampung Bumi Hijau dan Batu Hampar.

“Di Hilir Perak, terdapat 97 mangsa daripada 31 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI).

“Mereka yang terlibat adalah penduduk dari Kampung Batu 6 Changkat Jong, Kampung Batu 7 Changkat Jong, Kampung Batu 7½ Jalan Changkat Jong, Kampung Batu 8 Changkat Jong Felcra, Kampung Batu 9 Changkat Jong dan Kampung Batu 10 Changkat Jong.

“Seramai 92 mangsa daripada 42 keluarga berlindung di dua PPS iaitu SK Dato Sagor dan SK Tanjung Belanja membabitkan penduduk Kampung Setia, Kampung Gajah, Kampung Raja, Kampung Tua, Kampung Tasek, Kampung Belanja, Kampung Talang dan Kampung Serapoh dalam daerah Perak Tengah,” ujarnya.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak dalam kenyataan memaklumkan paras air Sungai Kurau di Kolam Air Bukit Merah mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu 9.15 meter manakala Sungai Rui di Jambatan Jalan Raya Perak merekodkan bacaan amaran iaitu 165.53 meter.

“Sungai Ijok di Bekalan Ijok pula mencatatkan bacaan waspada iaitu 35.26 meter berbanding bacaan paras normal iaitu 35.00 meter,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Banjir Perak: 669 mangsa masih di lapan PPS

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI