TAPAH – Empat remaja ditahan selepas cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis sehingga hampir merempuh anggota bertugas dan melanggar kenderaan polis di Kilometer 286.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Simpang Pulai, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Chery berwarna hitam yang dinaiki tiga lelaki dan seorang perempuan berusia bawah 15 tahun itu dikesan di Batu 3, Jalan Pahang, selepas polis menerima maklumat daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Superintenden Mohd Fadzil Ismail berkata, sepasukan anggota polis yang sedang menjalankan rondaan diarahkan membantu anggota Balai Polis Ringlet, Pahang bagi mengesan sebuah kenderaan yang dipercayai dinaiki beberapa individu tempatan disyaki terbabit dalam kes melarikan orang.
Menurutnya, sebaik kenderaan berkenaan dikesan, anggota polis telah mengarahkan pemandunya berhenti untuk pemeriksaan.
“Bagaimanapun, pemandu terbabit gagal mematuhi arahan dan memecut laju sehingga hampir melanggar anggota polis yang bertugas sebelum dikejar anggota berkenaan hingga ke kawasan Tol Tapah.
“Dalam usaha memintas kenderaan suspek, MPV polis yang dinaiki anggota telah dilanggar pada bahagian bumper belakang oleh kenderaan suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi diteruskan dengan bantuan sebuah lagi MPV dari IPD Ipoh sebelum kenderaan suspek berjaya ditahan di kawasan lebuh raya berhampiran Simpang Pulai.
“Kesemua mereka kemudiannya ditahan manakala kenderaan yang digunakan turut dirampas bagi membantu siasatan lanjut,” ujarnya.
Mohd Fadzil berkata, keputusan ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek adalah negatif dan semakan rekod mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Katanya, ketiga-tiga remaja lelaki terbabit direman selama empat hari bermula 21 hingga 25 November ini bagi membantu siasatan.
“Sementara itu, remaja perempuan yang turut ditahan dalam kes tersebut diberikan jaminan polis memandangkan dia turut terlibat dalam satu kes yang sedang disiasat di Jitra, Kedah. Kes disiasat mengikut Seksyen 186, Seksyen 279 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Tapah menerusi talian 05-401 1222.
Pada masa sama, Mohd Fadzil turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang sehingga boleh menimbulkan kegusaran awam. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pelajar tingkatan satu hilang di Kuala Kangsar ditemui selamat di Taiping


