KUALA KANGSAR – Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi meletakkan sasaran untuk kembali menaiki podium pada Kejohanan Olahraga Asia di China sebagai langkah membina momentum menjelang beberapa kejohanan utama tahun depan.
Anak kelahiran Teluk Intan berusia 22 tahun itu berkata, kejohanan yang dijadual berlangsung pada Mei tahun depan menjadi pentas terbaik buat dirinya untuk kembali membuktikan kemampuan selepas terpaksa berehat akibat kecederaan.
“Saya rasa Kejohanan Olahraga Asia adalah pentas terbaik untuk saya kembali meletakkan nama saya di atas podium kerana tahapnya lebih tinggi daripada Sukan Asia.
“Kali terakhir saya menyertai kejohanan tersebut adalah pada tahun 2023 dan berjaya menduduki tempat keempat dan sasaran saya adalah untuk kembali duduk di podium.

“Mungkin itu akan memberi momentum yang baik menuju ke Sukan SEA dan Kejohanan Dunia pada tahun 2027,” katanya.
Mengulas perkembangan terkini, beliau memaklumkan tahap pemulihannya kini sudah mencapai 90 peratus dan masih menjalani latihan di bawah pemantauan pasukan rehabilitasi serta rawatan.
“InshaAllah dalam tempoh masa empat minggu saya akan kembali 100 peratus dalam latihan,” ujarnya.
Muhammad Azeem menjelaskan keutamaan utamanya adalah memastikan dirinya bebas daripada kecederaan memandangkan tahun hadapan menyaksikan beberapa kejohanan berprestij, termasuk Kejohanan Olahraga Asia, Sukan SEA, Sukan Universiti Dunia dan Kejohanan Dunia.
Terdahulu, beliau menzahirkan rasa syukur selepas berpeluang dianugerah Pingat Jasa Kebaktian (PJK) yang dikurniakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena sesi kedua Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak Darul Ridzuan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Ke-70 di Istana Iskandariah, di sini, hari ini.
“Ini memberi saya satu suntikan motivasi untuk kembali pada tahun 2027 dan mewarnai arena sukan olahraga kita dengan lebih banyak pencapaian,” katanya.
Sementara itu, atlet berbasikal paralimpik negara, Nur Suraiya Muhamad Zamri, 31, yang turut dianugerahkan PJK bertekad memperbaiki pencapaiannya pada Kejohanan Berbasikal Para Asia (ACC) dan Sukan SEA pada tahun hadapan.

Beliau berkata, sasaran berkenaan menjadi fokus utamanya bagi menghadapi saingan tahun depan, selain meneruskan persiapan menerusi latihan bersama jurulatih dan rakan sepasukan.
“Kini saya sedang meneruskan latihan seperti biasa bersama jurulatih dan rakan-rakan sepasukan bagi memastikan tahap prestasi berada pada tahap terbaik,” ujarnya.
Nur Suraiya berkata, kejayaan meraih pingat gangsa pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 menjadi pemangkin semangat untuk beliau melakar pencapaian lebih cemerlang pada kejohanan di laman sendiri tahun hadapan.
“Sukan Para Asia sebelum ini, saya dapat dua emas dan satu perak. Di Kuala Lumpur tahun depan, saya nak baiki semula pencapaian saya,” jelasnya.
Menyentuh mengenai pengurniaan PJK yang diterimanya buat kali pertama, Nur Suraiya menzahirkan rasa gembira dan syukur atas pengiktirafan kerajaan negeri terhadap sumbangannya dalam mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


