KUALA KANGSAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan menyertai Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah (LHKSNS) 2026 di Dataran Pavilion di sini, pada Ahad.
Turut berkenan berangkat Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dengan dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan barisan Exco Kerajaan Negeri.
Larian yang bermula pada jam 6.45 pagi dan disertai 10,014 peserta itu diadakan sempena Hari Keputeraan Sultan Nazrin yang ke-70, yang disambut pada 7 November lalu.
Acara dimulakan dengan pelepasan peserta larian bagi kategori 15 kilometer (km) seramai 4,741 orang pada jam 6.45 pagi oleh baginda di Dataran Pavilion, di sini.
Sultan Nazrin kemudiannya berkenan melepaskan peserta larian kategori 10km dan 7km masing-masing seramai 3,372 dan 1,898 peserta secara serentak pada jam 7 pagi, manakala kategori tetamu kehormat kalangan orang besar jajahan, exco kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan sejauh 3km dilepaskan oleh adinda baginda, Raja Datuk Seri Yong Sofia.
Turut berkenan menyertai acara berkenaan ialah anakanda Sultan Nazrin dan Tuanku Zara, Raja Kecil Besar Perak, Raja Datuk Seri Azlan Muzzaffar Shah bagi kategori 15km, manakala Raja Datuk Seri Nazira Safya menyertai kategori 7km.
Sultan Nazrin kemudian berkenan meluangkan masa bersama rakyat di Laman Budaya bagi menyaksikan demonstrasi dan pameran aset oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Pusat Latihan PGA Ulu Kinta, Ipoh serta reruai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Pertanian Negeri Perak.
Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang laluan larian yang membabitkan kawasan kampung sekitar Mukim Sayong, Kota Lama Kanan serta Jambatan Sultan Abdul Jalil Shah.
Antaranya, permainan tradisional gasing dan sepak raga, demonstrasi labu sayong, persembahan rebana, gendang Cina dan India serta stesen kuih-muih.
Selepas acara larian selesai, baginda berdua berkenaan menghadiri santapan dan menikmati persembahan oleh Kumpulan Stomp dan Percussion Politeknik Ungku Omar (PUO) Ipoh, Kumpulan Selendang Perak dan persembahan tarian perang Senoi Praaq daripada Batalion 3, PGA Bidor.
Tuanku Zara kemudian menyampaikan hadiah kepada tiga peserta yang berjaya merekodkan catatan masa terbaik bagi kategori 15km dan 10km.
Pemenang tempat pertama bagi kategori 15km menerima wang tunai RM800 dan plak, kedua (RM700 dan plak) serta ketiga (RM600 dan plak), manakala tempat pertama untuk kategori 10km pula mendapat wang tunai RM600 dan plak, tempat kedua (RM500 dan plak) serta tempat ketiga (RM400 dan plak). – MG Perak


