TAPAH – Pembangunan infrastruktur kampung, penyediaan kediaman lebih selesa serta peluang pendidikan dan latihan kemahiran antara harapan masyarakat Orang Asli di negeri ini menjelang pembentangan Belanjawan Perak 2027 esok.
Batin Kampung Batu Enam Jalan Pahang Tapah, Fazil Harum berkata, peruntukan khusus perlu disediakan bagi membantu masyarakat Orang Asli di seluruh negeri terutamanya untuk bantuan keperluan asas dan pembangunan kemudahan kampung.
Menurutnya, antara keutamaan yang diharapkan ialah penyaluran bantuan bakul makanan menerusi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) selain bantuan baik pulih rumah dan pembinaan kediaman baharu untuk penduduk yang memerlukan.
“Kalau boleh, peruntukan itu disalurkan kepada DUN masing-masing untuk bakul makanan dan juga baik pulih rumah serta pembinaan rumah baharu.

“Infrastruktur seperti jalan kampung yang sudah tidak elok diharap dapat diturap, termasuk kampung yang masih belum mempunyai jalan berturap,” katanya ketika ditemui MG Perak.
Dalam pada itu, Fazil turut berharap kerajaan negeri mempertimbangkan pemberian elaun bulanan kepada Batin sebagai penghargaan terhadap tanggungjawab mereka menguruskan hal ehwal masyarakat setempat.
Katanya, tugas Tok Batin bukan terhad kepada waktu pejabat, sebaliknya memerlukan komitmen sepanjang masa bagi membantu menyelesaikan pelbagai urusan dan permasalahan penduduk kampung.
Sementara itu, Batin Kampung Sungai Cincin Cenderiang, Panjang Aris berkata, Belanjawan Perak 2027 diharap menyediakan peruntukan lebih besar berbanding tahun sebelumnya dengan memberi keutamaan kepada sektor pendidikan serta pembangunan potensi golongan muda Orang Asli.
Menurutnya, peluang melanjutkan pendidikan dan mengikuti latihan kemahiran menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu diperluas, khususnya kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Beliau berkata, inisiatif berkenaan penting bagi membantu golongan muda Orang Asli mengembangkan minat dan bakat dalam bidang tertentu, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan atau menceburi bidang keusahawanan.

“Kalau boleh, saya mohon perbelanjaan itu melebihi Belanjawan 2026, terutama peruntukan untuk pendidikan.
“Kedua, untuk remaja yang berminat menceburi bidang yang mereka suka. Jika boleh, pihak yang mengendalikan latihan TVET membantu anak muda Orang Asli selepas SPM supaya mereka mendapat manfaat daripada peluang berkenaan,” katanya.
Selain pendidikan, beliau berkata, keperluan memperbaiki kemudahan infrastruktur di Kampung Sungai Cincin juga perlu diberi perhatian, terutama keadaan jalan dan kekurangan lampu jalan yang menjejaskan keselesaan serta keselamatan penduduk.
“Kampung kami ada penjara yang berhampiran jadi laluan itu sesak terutamanya di Waktu orang keluar bekerja jadi kalau boleh percepatkanlah infrastruktur seperti lampu isyarat dan lampu jalan,” katanya.
Panjang Aris turut berharap kerajaan negeri mempertimbangkan peningkatan elaun Batin berikutan keadaan ekonomi penduduk kampung yang semakin mencabar, sekali gus menjejaskan kemampuan mereka menampung kos menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat.
Katanya, peningkatan elaun itu dapat membantu meringankan beban Batin yang perlu menguruskan pelbagai urusan penduduk, selain memastikan kebajikan komuniti terus terbela.
Harapan kedua-dua Batin itu turut mencerminkan keperluan memastikan agenda pembangunan negeri menerusi Perak Sejahtera 2030, khususnya Flagship Masyarakat Orang Asli, diterjemahkan melalui pelaksanaan inisiatif yang menyentuh keperluan sebenar komuniti.
Tumpuan terhadap kemudahan asas, perumahan, pendidikan dan pembangunan kemahiran dilihat penting bagi memastikan masyarakat Orang Asli bukan sahaja menikmati pembangunan fizikal, malah mempunyai peluang lebih luas untuk meningkatkan taraf sosioekonomi serta membina masa depan generasi muda. -MG Perak


