IPOH – Peruntukan bagi membaik pulih dan bina baharu masjid serta surau di negeri Perak pada tahun 2027 meningkat kepada RM18 juta iaitu pertambahan RM3 juta berbanding sebelumnya menerusi Belanjawan Perak 2027.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peruntukan menaik taraf institusi pendidikan Islam di negeri ini turut ditingkatkan sebanyak RM2 juta kepada RM7 juta bagi tahun hadapan.
Katanya, sebagai institusi utama dalam menegakkan syiar Islam negeri, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menerima peruntukan tambahan sebanyak RM3 juta dengan menjadikan keseluruhannya berjumlah RM133.8 juta.
“RM126.8 juta di bawah maksud mengurus bagi tujuan operasi jabatan, Institut Tadbiran Islam Perak, pengurusan masjid, Sekolah-Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan serta sekolah menengah agama negeri.
“Manakala bagi tujuan pembangunan, RM7 juta disediakan untuk penyelenggaraan enam masjid utama negeri, menaiktaraf sekolah menengah agama negeri dan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan serta menaiktaraf pejabat-pejabat agama daerah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Pembentangan Belanjawan Perak 2027 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.
Ujar Saarani, Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM18.2 juta diperuntukkan bagi pembayaran elaun dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada 3,310 orang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) negeri.
Tambah Menteri Besar lagi, kerajaan negeri juga menyalurkan RM19.8 juta iaitu peningkatan RM900,000 kepada Jabatan Kehakiman Syariah, RM2.7 belanja mengurus kepada Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Perak, serta RM5.3 juta kepada Jabatan Mufti Negeri.
“Ikhtiar menyuburkan syiar Islam dan memperkukuh kesejahteraan ummah turut mendapat dukungan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), yang menyediakan peruntukan keseluruhan kira-kira RM254.3 juta bagi tahun 2027.
“Peruntukan ini merangkumi usaha memperkasa ekonomi asnaf, memperluas pengagihan zakat berjumlah RM247 juta serta RM7.3 juta bagi pembangunan wakaf,” katanya. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:
Belanjawan Perak 2027: Masjid, surau harap peruntukan ditambah, diperluas


