IPOH – Perak memperkukuh komitmen dalam merancakkan sektor pelancongan negeri menerusi penyediaan peruntukan khusus bagi memastikan momentum Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026–2027 dapat diteruskan secara berkesan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagi memastikan momentum itu dapat diteruskan, sebanyak RM6.6 juta diperuntukkan kepada Tourism Perak bagi promosi pelancongan domestik dan antarabangsa, pembangunan produk, pengukuhan industri serta penganjuran acara.
Menurutnya, Lembaga Muzium Perak turut menerima RM4.4 juta bagi meneruskan pembangunan Muzium Diraja Kuala Kangsar serta kerja-kerja baik pulih Kompleks Sejarah Pasir Salak.
“Peruntukan lain termasuk, RM1.5 juta diperuntukkan untuk pelbagai program pelancongan dan kebudayaan; RM1 juta bagi program pembangunan infrastruktur luar bandar kawasan tumpuan pelancongan; serta RM1 juta bagi projek naik taraf ikon-ikon dan penyelenggaraan kawasan pelancongan.
“Selain itu, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM700,000 bagi Unit Pulau Bebas Cukai Pulau Pangkor; RM200,000 bagi Program Pesta Panjut di Kuala Kangsar yang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Kuala Kangsar; dan RM150,000 bagi Program Durian Fest Negeri Perak di bawah Jabatan Pertanian Negeri Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Pembentangan Belanjawan Perak 2027 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Saarani berkata, usaha berkenaan turut disokong melalui penyertaan dalam pameran pelancongan, misi jualan, pemadanan perniagaan serta kerjasama dengan pemain industri bagi memperluas pasaran dan meningkatkan daya tarikan destinasi pelancongan negeri.
“Pertumbuhan pelancongan juga membuka ruang untuk memperkukuh hasil negeri. Sehingga September 2026, kutipan Caj Perkhidmatan Tempatan telah mencapai RM5.304 juta, bersamaan 88.4 peratus daripada sasaran RM6 juta bagi tahun tersebut.
“Berdasarkan perkembangan ini, kerajaan negeri menetapkan sasaran kutipan Caj Perkhidmatan Tempatan sebanyak RM7 juta bagi tahun 2027, dengan memperkukuh kerjasama bersama PBT dalam pengurusan dan penguatkuasaan kutipan,“ jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


