Belanjawan Perak 2027: Lebih RM71 juta perkukuh keterjaminan makanan

IPOH – Kerajaan Perak memperuntukkan lebih daripada RM71 juta bagi memperkukuh keterjaminan makanan negeri meliputi sektor pertanian, penternakan dan perikanan menerusi Belanjawan Negeri 2027.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peruntukan itu merangkumi usaha menjamin bekalan sumber protein dan memperkukuh daya saing industri agromakanan negeri.

Katanya, sektor pertanian menerima peruntukan sebanyak RM42.39 juta, termasuk RM33.19 juta bagi belanja mengurus Jabatan Pertanian Negeri Perak dan RM8 juta untuk belanja pembangunan.

“Peruntukan belanja mengurus Jabatan Pertanian Negeri Perak meningkat sebanyak RM2.27 juta berbanding tahun 2026.

“Selain itu, kerajaan negeri turut menyediakan RM450,000 bagi Jualan Sejahtera Agro, RM250,000 untuk Program Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan serta RM500,000 bagi Program Pertanian Bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Pembentangan Belanjawan Perak 2027 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.

Sementara itu Saarani berkata, sebanyak RM26.8 juta diperuntukkan bagi sektor perkhidmatan veterinar, merangkumi RM24.3 juta untuk belanja mengurus dan RM2.5 juta bagi belanja pembangunan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika membentangkan Belanjawan Perak 2027 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 24 NOVEMBER 2026.

Kata beliau, peruntukan pembangunan itu meliputi perbelanjaan untuk pembangunan industri ternakan, latihan dan promosi, bangunan serta infrastruktur dan pembangunan Ladang Infoternak.

Bagi sektor perikanan pula, Saarani memberitahu, kerajaan negeri menyediakan RM2.44 juta, termasuk RM290,000 bagi belanja mengurus dan RM1.65 juta untuk belanja pembangunan Jabatan Perikanan Negeri.

“Kerajaan negeri turut memperuntukkan RM200,000 bagi Projek Benih Kerang di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perak serta RM300,000 untuk Pusat Komuniti Nelayan (PNK) Sungai Tinggi,” katanya lagi.

Saarani berkata, tumpuan turut diberikan kepada pembangunan akuakultur dan ekonomi biru, termasuk pengukuhan industri kerang, pemindahan teknologi serta peningkatan aspek biosekuriti.

Jelas beliau, usaha itu turut merangkumi pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) dan ‘Fish Quality Certification’ (FQC) bagi meningkatkan kualiti serta daya saing hasil perikanan tempatan. – MG PERAK

 

Artikel Berkaitan:

Keterjaminan makanan bermula di ladang, pertanian Perak terus diperkasa

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI