Ketua Pembangkang puji Perak catat lebihan hasil empat tahun berturut-turut

IPOH – Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri susulan pencapaian lebihan hasil atau surplus selama empat tahun berturut-turut sejak 2022.

Ketua Pembangkang, Razman Zakaria berkata, lebihan hasil yang direkodkan itu menunjukkan pendapatan kerajaan negeri melebihi unjuran bagi tempoh berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol berkata, lebihan tersebut melibatkan RM29.6 juta pada 2022, RM62.4 juta (2023), RM45.6 juta (2024) dan RM87.92 juta pada 2025.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar (Datuk Seri Saarani Mohamad) bersama rakan-rakan kerajaan yang berjaya mewar-warkan pendapatan surplus, iaitu pendapatan lebih daripada empat tahun berturut-turut.

“Jumlah terkumpul yang diwar-warkan kepada kita adalah lebih RM225 juta,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan Perak 2027 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Rabu.

Bagaimanapun, Razman berharap agar lebihan hasil berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan kesejahteraan dan mengurangkan beban kos sara hidup rakyat di negeri ini.

Justeru beliau berkata, lebihan kewangan yang diperoleh kerajaan negeri itu perlu terus diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai rakyat menerusi pelaksanaan program serta pembangunan yang dirancang kerajaan negeri.

“Kita tidak mahu wang yang lebih ini tidak nampak digunakan ke mana. Mudah-mudahan RM225 juta itu dapat menambah kesejahteraan kepada rakyat.

“Kita mengharapkan bebanan hidup rakyat khususnya di negeri Perak ini dapat diringankan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Razman berpandangan Perak mempunyai potensi besar untuk meningkatkan pendapatan negeri melalui penerokaan sumber mineral dan kemasukan pelaburan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada hasil kutipan daripada rakyat.

Kata beliau, pengurusan sumber asli termasuk unsur nadir bumi (REE) wajar diberi perhatian bagi memastikan hasil negeri dapat dimanfaatkan secara optimum.

“Saya optimis sekiranya kita dapat menguruskan sumber REE ini dengan betul, Perak berpotensi menjadi antara negeri yang paling kaya.

“Oleh itu, saya juga mencadangkan supaya royalti REE yang diperoleh negeri dikaji semula agar dapat memberikan pulangan lebih besar kepada rakyat dan digunakan untuk mengurangkan beban mereka,” ujarnya.

Pada Selasa, Saarani membentangkan Belanjawan Negeri Perak 2027 dengan nilai RM1.7 bilion yang mana ia merupakan angka terbesar yang pernah diumumkan sebelum ini.

Daripada jumlah itu, RM1.1 bilion diperuntukkan bagi Belanja Mengurus, manakala RM593 juta bagi Belanja Pembangunan. – MG PERAK

 

Artikel Berkaitan:

Belanjawan Perak 2027 tertinggi dalam sejarah berjumlah hampir RM1.7 bilion

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI