BERUAS – Seorang lelaki berusia 22 tahun maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya terbabas sebelum merempuh tiang elektrik dan tembok konkrit longkang di Batu 12, Simpang 3 Pantai Remis, di sini, pada Ahad.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.52 pagi.
Katanya, sejurus selepas itu lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis diatur gerak ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba yang berada di lokasi mendapati mangsa yang berada di dalam kenderaan itu dalam keadaan tidak sedarkan diri bagaimanapun tidak tersepit.
“Mangsa berjaya dikeluarkan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sabarodzi berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai komander operasi, Zaimi Mohd Noh itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.07 tengah hari. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:


