Warga asing panjat rangka cermin bangunan satelit KLIA alami masalah mental – Polis

SEPANG – Seorang lelaki warga asing yang mengganggu ketenteraman orang awam serta memanjat rangka cermin di bangunan satelit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam dipercayai mempunyai masalah mental.

Dalam kejadian 4.56 petang, warganegara Nepal berusia 50 tahun yang memakai seluar pendek telah membuat kekecohan, dan mengganggu orang awam ketika berada di kawasan gate G6 pelepasan antarabangsa serta bertindak memanjat rangka cermin.

Ketua Polis Daerah KLIA ACP M. Ravi berkata pihak kawalan keselamatan terminal bertindak menenangkan suspek dan membawanya ke Balai Polis Terminal 1 untuk tindakan selanjutnya.

“Hasil siasatan mendapati suspek dijadualkan menaiki penerbangan pulang ke Nepal pada 6 petang hari kejadian.

“Menurut saksi yang juga rakan suspek, lelaki itu mengalami masalah mental sejak beberapa bulan lepas dan enggan menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lelaki itu kemudian dibawa ke Hospital Kajang dan ditempatkan di Wad Psikiatrik untuk rawatan lanjut.

“Pihak kedutaan Nepal juga telah dimaklumkan berkaitan dengan kejadian ini,” katanya.

Ravi menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu bagi mengelakkan sebarang berita tidak benar, yang boleh menyebabkan berlakunya kegusaran di tempat awam khususnya semasa berada di Terminal KLIA 1 dan Terminal 2.

Sebelum ini, tular beberapa video memaparkan tindakan merbahaya lelaki berkenaan memanjat rangka cermin bangunan Satelit KLIA yang dimuat naik orang awam melalui media sosial.

— BERNAMA


IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI