KUALA KANGSAR – Seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu ditemukan meninggal dunia di Kampung Teratai, Tanah Merah, di sini, pada Jumaat.
Penemuan mayat mangsa susulan penahanan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes berkenaan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar kira-kira jam 4.30 petang.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, sebelum itu pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa daripada seorang lelaki tempatan di Kampung Jenalik, Lubuk Merbau kira-kira jam 10.39 malam pada Khamis.
Beliau berkata, siasatan awal kemudian dijalankan sebagai kes orang hilang sebelum usaha mengesan mangsa dilakukan.
“Soal siasat terhadap suspek membawa kepada penemuan mayat orang hilang berkenaan di Kampung Teratai. Polis turut menjumpai sebilah pisau yang disyaki digunakan suspek dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.
Menurut Heisham, hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dengan suspek.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh bagi tujuan bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Justeru beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Mohamad Fadhil Ab Wahab di talian 019-7272033 atau Bilik Gerakan IPD Kuala Kangsar menerusi talian 05-7762222. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:
Harimau belang bunuh Orang Asli, serang anggota Perhilitan, ditembak


