IPOH – Bangunan warisan di sekitar bandar raya Ipoh perlu lebih banyak diberikan nafas baharu menerusi penyesuaian fungsi seperti sebagai galeri seni dan premis perniagaan yang mampu merancakkan ekonomi kreatif setempat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, usaha menghidupkan semula bangunan bersejarah itu penting bagi memastikan warisan bandar raya berkenaan terus mempunyai nilai ekonomi, selain menjadi sebahagian daripada tarikan kepada pengunjung.
Katanya, bangunan lama di Ipoh menyimpan pelbagai kisah berkaitan kehidupan masyarakat, perkembangan ekonomi dan perubahan zaman yang perlu dipelihara melalui pendekatan lebih berdaya maju.

“Saya mahu melihat lebih banyak bangunan warisan diberikan nafas baharu. Ada yang boleh menjadi galeri seni, ruang persembahan, tempat anak-anak muda berkarya, premis perniagaan atau ruang pertemuan masyarakat.
“Alangkah ruginya jika bangunan-bangunan yang begitu kaya dengan sejarah ini akhirnya hanya menjadi latar belakang untuk kita bergambar, sedangkan ruang di dalamnya tidak lagi mempunyai kehidupan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Ipoh Festival 2026 di Jalan Bandar Timah, di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot, serta Pengerusi Eksekutif Kumpulan Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) Tan Sri Lee Oi Hian.

Saarani berkata, Ipoh mempunyai identiti dan keistimewaan tersendiri yang tidak perlu dibandingkan atau meniru bandar lain, sebaliknya perlu diketengahkan sebagai kekuatan dalam pembangunan ekonomi bandar raya itu.
Beliau berkata, pengiktirafan Ipoh sebagai Bandar Kreatif Muzik di bawah Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO pada 2023 turut membuktikan potensi bandar raya berkenaan dalam mengembangkan industri seni dan muzik.

Bagaimanapun kata beliau, pengiktirafan itu perlu diterjemahkan kepada peluang lebih luas supaya anak muda yang berbakat dalam bidang muzik, seni, reka bentuk dan perniagaan kreatif dapat membina kerjaya tanpa perlu meninggalkan negeri ini.
“Saya mahu suatu hari nanti, seorang anak muda di Perak yang bercita-cita menjadi pemuzik, pelukis, pereka atau peniaga tidak merasakan bahawa dia perlu meninggalkan negeri ini semata-mata untuk membina masa depannya.

“Saya mahu mereka mempunyai ruang untuk berkarya di sini, peluang untuk memperkenalkan bakat mereka di sini dan keyakinan bahawa mereka juga boleh mencari rezeki melalui bakat yang dimiliki.
“Untuk mencapai hasrat tersebut, kita memerlukan sebuah ekosistem yang mempertemukan bakat dengan peluang, pengkarya dengan khalayak, serta industri dengan pelaburan,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengasas Galeri Warisan 22 Hale Street, Datuk Sandra Lee berkata, penganjuran Ipoh Festival 2026 bermula daripada kajian yang dilaksanakan bersama ‘Think City’ lebih setahun lalu bagi meneroka potensi menyumbang kepada usaha menghidupkan semula kawasan Pekan Lama Ipoh.

Menurut beliau, kajian itu membawa kepada pelaksanaan ‘Urban Regeneration Lab’ yang menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan untuk mengenal pasti peluang dan pendekatan baharu dalam pembangunan bandar.
“Festival berkenaan dirangka bagi membolehkan pengunjung meneroka bandar melalui persembahan, pameran dan pengalaman kreatif di jalanan, kafe serta pelbagai ruang sekitar Ipoh,” ujarnya.
Ipoh Festival 2026 yang julung kali dianjurkan berlangsung dari 27 November hingga 19 Disember ini dengan tema ‘Mengubah Bandar Sebagai Pentas’, mengetengahkan pendekatan penganjuran di beberapa lokasi di Ipoh. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:
‘Ipoh Bandar Muzik’ sasar 10,000 pengunjung, tarik penyertaan dari China, Colombia


