LENGGONG – Daerah Lenggong meraih satu lagi pencapaian antarabangsa apabila diiktiraf Asia Records menerusi penghasilan lebih 5,000 hidangan kebebe iaitu makanan tradisional daerah itu dalam tempoh sehari.
Pengiktirafan menerusi rekod ‘Most Servings of Traditional Lenggong Kebebe Prepared in a Single Day in 2026’ itu menjadikan Lenggong pemegang rekod pertama bagi pencapaian berkenaan.
Kejayaan itu dicapai menerusi penyertaan 300 peserta membabitkan 100 kumpulan yang menyediakan hidangan kebebe secara serentak dalam satu acara menumbuk kebebe sempena majlis penutup Dialog Antarabangsa Lenggong 2026 (LiD’26) dan Pesta Makanan Tradisional Lenggong di Dataran Lenggong, di sini, pada Ahad.

Acara berkenaan turut disertai Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ahli Parlimen Lenggong merangkap Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.
Sijil pengiktirafan disampaikan Pengasas Asia Records, Datuk KK Chua kepada Shamsul Anuar dengan disaksikan Saarani.

Terdahulu ketika majlis, Saarani dalam ucapan berkata, selain khazanah sejarah dan warisan arkeologi, masyarakat Lenggong turut memiliki pelbagai pengetahuan serta kemahiran tradisi yang wajar dipelajari dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Menurut beliau, kebebe dan ikan pekasam antara juadah yang cukup sinonim dengan identiti Lenggong di samping ia mempunyai potensi untuk diketengahkan sebagai produk ekonomi serta tarikan pelancongan.

“Dengan memberikan perhatian kepada mutu, kebersihan, pembungkusan dan pemasaran, saya percaya makanan warisan Lenggong boleh diperkenalkan ke pasaran yang lebih luas, termasuk ke luar negara, dengan tetap mempertahankan keaslian rasanya,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan perusahaan makanan tradisional itu juga mampu membuka peluang ekonomi kepada petani dan nelayan darat yang membekalkan bahan mentah.
Kebebe merupakan makanan tradisional Lenggong yang dipercayai telah diwarisi sejak ratusan tahun lalu dan dihasilkan menggunakan gabungan 13 bahan yang memberikan rasa pahit, kelat, manis, masin serta pedas.


Antara bahan digunakan ialah cili padi, belacan, belimbing buluh, buah cermai, jantung pisang, nangka muda, jambu batu, nanas dan kelapa muda bemban, selain garam serta gula.
Hidangan itu lazimnya disajikan ketika majlis kenduri sebagai pencuci mulut atau dinikmati pada waktu minum petang bersama minuman panas.
Dalam perkembangan sama, majlis penutup LiD’26 yang bertemakan ‘Warisan Dipelihara, Alam Dilestari, Generasi Dipelihara’ turut menyaksikan pemeteraian satu Memorandum Perjanjian (MoA), dua Memorandum Persefahaman (MoU) dan 13 Surat Niat (LoI) bersama rakan strategik dari dalam dan luar negara.

MoA dimeterai antara Lenggong Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Global Geopark dengan Toba Caldera UNESCO Global Geopark.
Sementara, MoU membabitkan Akademi Budaya Lembah Lenggong bersama tujuh organisasi antarabangsa dari Indonesia dan Singapura.
Kerjasama berkenaan merangkumi bidang pendidikan, kebudayaan dan jaringan strategik antarabangsa, manakala pemeteraian LoI melibatkan organisasi dari Malaysia, Thailand, Brunei, Bangladesh dan Indonesia. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:
Institut Lembah Lenggong bakal diwujudkan, sasar jadi hab pelancongan pendidikan


