IPOH – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak telah mengarahkan sepasukan pegawai bagi menjalankan pemeriksaan serta pemantauan awal berhubung laporan kelibat harimau belang berkeliaran di kebun durian dan ladang kelapa sawit di Kg Bawong, Sg Siput pada Jumaat.
Pengarah Perhilitan Perak Dr Fazil Abdul Patah berkata pemeriksaan di lokasi aduan pada semalam, bagaimanapun tidak menemukan sebarang bukti fizikal kehadiran haiwan itu, termasuk kesan tapak kaki atau najis.
Beliau berkata pihak jabatan masih mengaktifkan perangkap yang dipasang susulan kejadian serangan harimau belang terhadap manusia sebelum ini, selain meneruskan rondaan dan kawalan malam di kawasan berisiko.
“Sepasukan anggota Perhilitan telah diarahkan ke lokasi berkenaan sekitar 10.30 malam semalam bagi menjalankan pemeriksaan serta pemantauan awal.
“Harimau belang berkenaan dipercayai menghampiri kawasan kebun durian dan ladang kelapa sawit itu untuk mencari makanan,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeru (ADUN) Lintang Datuk Zolkafly Haron menerusi laman Facebook rasminya memaklumkan seorang pekerja kebun durian di Bawong melihat kelibat harimau belang di kawasan kebun berkenaan pada 25 Nov lepas.
Susulan penampakan pemangsa tersebut, satu laporan telah dikemukakan kepada Perhilitan untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Fazil berkata harimau belang yang dilaporkan berkeliaran di kawasan kebun durian dan ladang kelapa sawit itu dipercayai berasal dari Hutan Simpan Piah, Lenggong.
Beliau menasihati penduduk sekitar, khususnya pekerja kebun durian dan ladang kelapa sawit supaya tidak melakukan sebarang aktiviti secara bersendirian, terutama di kawasan berisiko menjadi laluan haiwan berkenaan.
“Penduduk sekitar diminta mengelakkan sebarang aktiviti berhampiran kawasan hutan mulai 5 petang hingga 9 pagi keesokan harinya sepanjang tempoh pemantauan bagi mengurangkan risiko pertembungan dengan harimau belang berkenaan,” katanya.
— BERNAMA


