Seleweng duit zakat, Perak ambil iktibar perbaiki kelemahan

TANJONG MALIM: Kerajaan Negeri Perak akan memperbaiki kelemahan bagi mengelakkan insiden penyelewengan duit kutipan zakat Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk) baru-baru ini, berulang kembali.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya juga akan mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku selain bakal melaksanakan berapa penambahbaikan.

“Sudah tentu kerajaan negeri memandang serius insiden ini kerana ia di bawah pentadbiran dan pengurusan MAIPk selain sudah menjadi kes polis.

“Jadi kita tidak boleh lepas tangan ekoran ia berlaku dalam Perak dan kita perlu mengambil iktibar serta memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada Majlis Penutup Karnival Siswa Perak Sejahtera 2030, di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini pada Sabtu.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri Perak juga bakal mengadakan perbincangan bersama MAIPk dalam meneliti semula kaedah kutipan duit zakat termasuk dalam talian bagi mengelakkan berlakunya penyelewengan.

“Jika ia merupakan satu kelemahan data dan satu ruang untuk orang menyeleweng kita tidak boleh guna kaedah itu (kutipan zakat atas talian) dan perlu menggunakan kaedah yang jauh lebih baik daripada itu,” katanya.

Bagaimanapun Saarani berkata, perbincangan berkenaan akan diadakan selepas perlantikan baharu pengurusan MAIPK.

Terdahulu media melaporkan Polis sedang menyiasat sebuah syarikat yang dilantik sebagai ejen kutipan zakat oleh MAIPK selepas disyaki menyeleweng kutipan zakat sebanyak RM9.62 juta.

Siasatan dijalankan selepas syarikat terbabit dipercayai gagal mendepositkan wang zakat bermula Mac hingga September 2023.

Rentetan itu, pasangan suami isteri berusia 50 dan 53 tahun ditahan pihak polis di Kuala Lumpur pada Jumaat bagi membantu siasatan kes. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pasangan suami isteri disyaki terlibat kes seleweng wang zakat disiasat

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI