SUNGAI SIPUT – Seekor gajah jantan liar seberat 1.8 tan yang berkeliaran di kawasan kebun dan penempatan masyarakat Orang Asli di RPS Legap dekat sini berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, gajah yang diberi nama ‘Aga Legap’ itu ditangkap pada Khamis lalu selepas didapati menimbulkan kegusaran penduduk sejak Disember lalu.
Katanya, mamalia dianggarkan berusia 11 ke 12 tahun itu akan dipindahkan ke habitat asal di Hutan Simpan Belum susulan operasi pemindahan gajah itu pagi tadi.
Menurut beliau, dua ekor gajah denak iaitu bernama Rambai dan Abot dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang turut digunakan dalam operasi terbabit.
“Pihak kami telah menerima aduan daripada penduduk setempat pada Disember lalu yang mana gajah liar ini telah mengganggu kebun di samping menimbulkan kegusaran kepada mereka terutama pada waktu malam.
“Selain itu, kami percaya haiwan ini merupakan salah seekor dari 12 ke 15 ekor kumpulan gajah daripada ID (kumpulan gajah) Piah dari hutan simpan berhampiran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada operasi pemindahan gajah liar itu di RPS Legap, dekat sini, pada Isnin.
Operasi yang berlangsung kira-kira lima jam bermula pada jam 8 pagi itu melibatkan 29 anggota dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah dan Perhilitan Perak.
Pada masa sama, Yusoff berkata, sebelum itu pihaknya telah menerima lapan aduan berkaitan gangguan gajah liar melibatkan kawasan di Hulu Perak di Gerik, serta Pos Perwor dan Lintang di Sungai Siput.
“Sebelum ini kita mengambil kaedah menghalau sahaja, namun hasil penilaian di lapangan, kami merasakan sudah tiba masanya untuk kita buat tangkapan dan pemindahan terhadap gajah liar itu,” ujarnya lagi. -MG Perak
Artikel Berkaitan: