Perak rekod surplus tertinggi dalam sejarah RM62.4 juta

IPOH – Kerajaan Negeri Perak berjaya berjaya merekodkan lebihan pendapatan (surplus) sebanyak RM62.4 juta bagi tahun 2023 iaitu angka tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, walaupun pada belanjawan 2023 yang dibentangkan sebelum ini adalah bajet defisit tetapi Perak telah merekodkan surplus.

“Tadi saya umumkan berasaskan kepada maklumat terbaharu yang disampaikan kepada Pejabat Kewangan Negeri sehingga 31 Disember 2023 kita dapati akaun kita surplus walaupun bajet kita bentang untuk 2023 iaitu bajet defisit tapi kita dapat surplus RM62.4 juta.

“Maknanya kita akan dapat buat collection (kutipan) yang baik dan melebihi sasaran pendapatan.

“Hasil cukai dan premium adalah penyumbang paling besar sebanyak RM800 juta pada 2023. Itu termasuk perbelanjaan mengurus sebanyak 98 peratus dan pembangunan 94 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Executive Talk dan Perutusan Tahun Baharu 2024 Menteri Besar Perak di Hotel Casuarina@Meru di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, Saarani berkata, jika trend ini dapat diteruskan, pihaknya menjangkakan kerajaan negeri bakal memperoleh lebihan pendapatan pada tahun ini.

“Kita yakin dengan momentum dan kerja kuat oleh kakitangan kerajaan negeri, pada tahun 2024 pun akan dapat surplus. Nilai kita masih tidak tahu, hujung tahun baru kita tahu,” ujarnya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Perak pernah merekodkan defisit mencecah RM78.01 juta pada tahun 2020 dan defisit RM6.59 juta pada 2021 akibat serangan Covid-19.

“Namun kita telah berupaya bangkit untuk kembali mencatat surplus untuk dua tahun berturut-turut iaitu RM29.6 juta pada tahun 2022 dan terkini, saya baru dimaklumkan bahawa bagi tahun berakhir 2023, kita berjaya merekodkan surplus sebanyak RM62.4 juta.

“Kedudukan kewangan negeri juga mengalami pengukuhan yang memberangsangkan. Dalam sesi penggulungan Belanjawan Perak 2024 yang lalu, saya mengumumkan kutipan hasil negeri setakat 13 Disember 2023 adalah berjumlah RM1.13 bilion.

“Sukacita saya memaklumkan, angka terkini menunjukkan, kutipan hasil negeri sehingga 31 Disember 2023 adalah berjumlah RM1.21 bilion yang juga merupakan angka tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah,” jelasnya.

Katanya, angka tersebut adalah jangkauan 107.06 peratus lebih tinggi berbanding sasaran yang ditetapkan bagi tahun lalu.

“Justeru, pada kesempatan ini, saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Pejabat Kewangan Negeri, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Perak dan semua Pejabat Daerah dan Tanah, GLC negeri serta seluruh penjawat awam yang tidak pernah putus usaha, bekerja keras untuk sama-sama meningkatkan hasil negeri,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Menteri Besar, Saarani Mohamad Bentang Belanjawan Perak 2024

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI