Pekerja kedai aksesori telefon bimbit didakwa bunuh majikan

IPOH – Seorang pekerja kedai aksesori telefon bimbit dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan membunuh majikannya di Taman Rasi Jaya, Menglembu pada 4 Januari lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan, tertuduh Yap Kok Ming, 54, yang mengangguk faham sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Nora Sharif.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Lee Siew Lean, 49, di hadapan kedai menjual aksesori telefon bimbit di Laluan Rasi Jaya 8, Taman Rasi Jaya, Menglembu, di sini.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari pada 4 Januari lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Vatchira Wong Rui Fern manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 6 Mac depan untuk mendapatkan laporan forensik dan kimia.

Dalam kejadian 4 Januari lalu, seorang pengusaha kedai aksesori telefon bimbit maut ditikam pekerjanya dalam kejadian pergaduhan di hadapan sebuah kedai serbaneka di Taman Rasi Jaya, Menglembu, di sini.

Wanita terbabit maut di tempat kejadian manakala teman lelaki dan suspek yang juga pekerja mangsa turut cedera dalam insiden itu. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Tikam majikan sampai mati, pekerja direman seminggu

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI