Juru Perunding berputih mata RM1.65 juta ditipu pelaburan kripto

IPOH – Seorang juru perunding berputih mata apabila wang berjumlah RM1,651,585 lesap selepas membuat pelaburan mata wang kripto menggunakan platform Unobitex yang tidak wujud.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes tersebut daripada mangsa lelaki berusia 37 tahun dari Taman Perak di sini, pada Khamis.

Menurutnya, siasatan polis mendapati pada awal September 2023, semasa mangsa berada di rumahnya, dia telah diperkenalkan oleh seorang rakan yang dikenali melalui Facebook untuk membuat pelaburan dalam pasaran unit mata wang kripto melalui satu platform Unobitex.

“Sejak 12 September 2023, mangsa telah memasukkan dana sebanyak 44 kali ke dalam pelbagai akaun bank yang berbeza berjumlah RM1,651,585.

“Bagaimanapun, apabila mangsa ingin mengeluarkan wang keuntungan pelaburan, suspek telah meminta mangsa untuk membuat bayaran cukai negara Arab Saudi, barulah mangsa sedar bahawa beliau telah ditipu oleh suspek,” katanya dalam satu kenyataan lewat malam tadi.

Berikutan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, Mohd Yusri memberi peringatan kepada masyarakat supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan dalam platform media sosial, khususnya melalui aplikasi kewangan atau pelaburan yang tidak diluluskan Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

“Orang ramai boleh menghubungi talian Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) 997 jika menjadi mangsa penipuan skim pelaburan yang tidak wujud.

“Sebarang pertanyaan mengenai jenayah penipuan, mereka boleh menghubungi CCID Infoline di talian 013-2111222 (WhatsApp sahaja) yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Wanita rugi setengah juta terpedaya pelaburan saham di Facebook

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI