Ops Dadu Khas: Polis Perak tahan 1,604 individu disyaki terlibat aktiviti judi

IPOH – Polis Perak berjaya menahan 1,604 individu dipercayai terlibat dalam pelbagai aktiviti perjudian di negeri ini dalam siri ‘Ops Dadu Khas’ pada Januari sehingga 30 September lalu. 

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dalam 1,338 serbuan yang dilakukan itu pihaknya turut merampas 397 peranti seperti telefon bimbit, komputer, mesin pencetak dan wang tunai berjumlah RM246,793. 

Katanya antara kesalahan dan serbuan yang dilakukan antaranya melibatkan jenayah judi atas talian, loteri awam haram, pusat panggilan atau ‘calling centre’, serta pertaruhan haram. 

“Pihak polis akan menjalankan siasatan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953. 

“Di samping itu, sebanyak  839 pertuduhan ke atas tangkapan telah dijalankan dalam tempoh operasi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin. 

Selain itu beliau berkata, pihaknya turut melakukan 90 pemotongan bekalan elektrik ke atas premis-premis perjudian di bawah seksyen 21(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, sekatan ke atas 55 laman sesawang berunsur perjudian atas talian dan 53 permohonan pembatalan lesen perniagaan. 

Menurutnya usaha membanteras sindiket perjudian itu turut dibantu pihak berkuasa tempatan, syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). 

“Pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman juga telah membuka dua kertas siasatan ke atas ahli sindiket perjudian yang ditangkap Polis Perak di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, dan Hasil dari  Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001,” jelasnya lagi. – MGPerak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI