IPOH – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengeluarkan arahan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) supaya melakukan operasi besar-besaran ke atas semua pili bomba di seluruh negara.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, arahan tersebut telah diberikan kepada Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad supaya operasi tersebut dijalankan di 337 balai bomba dan penyelamat (BBP) di negara ini bagi memastikan ia berada dalam keadaan baik untuk digunakan sewaktu kecemasan.
Menurutnya, setakat ini terdapat 351,000 pili bomba milik kerajaan manakala 65,000 lagi milik swasta.
“Di Perak, jumlah pili bomba milik kerajaan adalah sebanyak 40,000 manakala 5,000 lagi adalah milik swasta.
“Sebelum ini, setiap balai bomba memang ada menjalankan pemeriksaan (pili bomba) secara rutin mengikut jadual ditetapkan bagi memastikan pili bomba berfungsi dan tekanan air cukup.
“Sehubungan itu, saya ingin menyeru semua pihak supaya berwaspada, khususnya dalam keadaan cuaca panas ini yang boleh meningkatkan risiko kebakaran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Pasar Pasir Puteh berusia 67 tahun di sini yang musnah dalam kebakaran tengah malam tadi, pada Selasa.
Dalam pada itu, Kor Ming menasihatkan pemilik bangunan lama terutamanya yang berusia lebih 50 tahun untuk melakukan pemeriksaan berkala terhadap sistem pendawaian bagi mengelakkan risiko kebakaran.
“Justeru, kita minta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung beberapa kebakaran yang berlaku sejak kebelakangan ini.
“Pada masa ini, bomba sedang membuat siasatan termasuk menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) untuk mencari punca kebakaran berkenaan,” jelasnya.
Sementara itu, beliau turut mengumumkan bantuan kecemasan sebanyak RM115,000 kepada 70 peniaga yang terjejas dalam kebakaran tersebut.
Beliau memaklumkan akan meminta pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) serta JBPM Perak mengemukakan laporan punca kebakaran tersebut.
“Saya akan minta MBI untuk kemukakan laporan serta cadangan untuk pembinaan semula pasar awam Pasir Puteh dalam masa yang terdekat.
“Jadi, kita akan cuba bantu dan pasar, sama ada bila dan macam mana pasar baru ini akan dibina, saya akan tunggu laporan dan akan membuat pengumuman pada masa yang sesuai.
“Saya tunggu laporan daripada MBI dan kita akan kira dengan bajet yang ada tetapi saya akan percepatkan,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Bomba Perak kenal pasti 22 lokasi ‘hot spot’ kebakaran hutan