KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, telah memperkenan pengisytiharan darurat di seluruh Bahagian
Serian, Sarawak berikutan keadaan jerebu yang telah mencapai tahap pencemaran udara yang membahayakan kesihatan dan keselamatan orang ramai.
Pejabat Perdana Menteri berkata, keputusan ini dibuat setelah mengambil kira nasihat Perdana Menteri dan Premier Sarawak serta agensi-agensi berkaitan mengenai tahap kualiti udara di kawasan berkenaan.
“Langkah-langkah yang perlu secara lebih berkesan akan diambil bagi melindungi kesihatan serta kebajikan penduduk yang terjejas.
“Kerajaan akan terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa dan memastikan segala tindakan yang diperlukan dilaksana dengan segera, termasuk langkah mitigasi serta penyampaian maklumat dan nasihat kesihatan kepada orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan.
Pagi tadi, kualiti udara di Serian terus berada pada tahap bahaya apabila stesen pemantauan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian merekodkan bacaan IPU mencecah 518.
Berdasarkan laman wen Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), Kuching turut mencatatkan bacaan pada tahap bahaya iaitu 310.
Dua lagi kawasan di Sarawak berada pada tahap sangat tidak sihat iaitu Samarahan dengan bacaan 281 dan Sri Aman (245). – MalaysiaGazette


