IPOH – Akibat cemburu, seorang pelajar perempuan tingkatan satu ditampar berulang kali oleh pelajar perempuan tingkatan tiga dalam kejadian di dalam tandas sebuah sekolah menengah di daerah Kerian 14 Jun lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya telah mengesan satu video tular berdurasi satu minit 21 saat mengenai kejadian buli itu sekitar jam 4 petang semalam.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada 14 Jun lalu sekitar jam 10.30 pagi melibatkan mangsa, pelajar perempuan berusia 13 tahun telah dibuli oleh dua pelajar perempuan berusia 15 tahun dari sekolah yang sama.
“Dalam kejadian ini, mangsa telah dibawa ke dalam tandas sekolah berkenaan oleh salah seorang suspek.
“Setibanya mangsa di tandas suspek bersama seorang lagi pelajar perempuan bertindak menampar mangsa berulang kali dan merakam video kejadian tersebut.
“Kejadian itu dipercayai berlaku akibat sikap cemburu suspek kepada mangsa yang dikatakan rapat dengan teman lelakinya yang berumur 15 tahun yang turut bersekolah di sekolah sama,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Susulan kejadian itu, beliau berkata, mangsa telah membuat laporan polis pada hari ini.
“Kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan dengan sengaja,” jelasnya.
Sehubungan itu, Mohd Yusri meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut.
Menerusi video tular yang berdurasi satu minit 21 saat itu memaparkan seorang pelajar perempuan dibawa ke dalam tandas sebelum ditampar dua pelajar perempuan yang lain.
Mangsa hanya menangis dan tidak melawan dengan tindakan dua pelajar ke atasnya.
Turut kelihatan beberapa pelajar perempuan lain yang turut menyaksikan kejadian itu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Buli di sekolah: Jangan cetuskan andaian sendiri – Exco Perak