Arafat enggan dedah identiti tiga ADUN PN sokong Kerajaan Perak

IPOH – Naib Pengerusi PKR Perak, Muhamad Arafat Varisai Mahamad masih enggan mendedahkan nama tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) Perak, yang beliau dakwa menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri.

ADUN Hulu Kinta itu berkata, beliau menyerahkan kepada tiga wakil rakyat berkenaan untuk membuat pengumuman mengenai sokongan mereka terhadap kepimpinan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

“Kalau dedah itu bukan politiklah dan kita kena hormati privasi orang dan dalam keadaan begitu tidak tepat dan tidak betul kalau saya yang umumkan.

“Biarlah mereka (tiga ADUN PN Perak) yang hendak keluar umumkan sendiri dan kalau kita tanya benda-benda ini takut macam kita pula yang susun atur, kita hormati mereka dan lebih molek mereka umum sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersempena dengan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Rabu.

Ditanya sama ada beliau mengetahui faktor yang mendorong tiga ADUN berkenaan menyatakan sokongan kepada Kerajaan Negeri Perak, Muhamad Arafat berkata ia bukan disebabkan peruntukan.

Jelas beliau tindakan yang diambil ADUN tersebut lebih kepada kepentingan rakyat dan negeri.

Terdahulu Muhamad Arafat mendakwa tiga ADUN PN menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan Perak secara peribadi kepadanya namun enggan mendedahkan secara terperinci berkenaan tiga wakil rakyat pembangkang itu mahupun lokasi pertemuan yang didakwa.

Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin kemudiannya mencabar ADUN Hulu Kinta itu, mendedahkan nama tiga ADUN pembangkang yang didakwa memberi sokongan kepada Kerajaan Negeri Perak.

Beliau berkata, sekiranya Muhamad Arafat gagal mendedahkan tiga nama berkenaan beliau saling tidak tumpah seperti sekadar bermimpi di siang hari. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

PN Perak cabar Arafat dedah nama ADUN sokong kerajaan negeri

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI