PUTRAJAYA – ASEAN perlu meneliti semula mekanisme sedia ada dalam menangani isu jerebu rentas sempadan bagi mengelakkan impak buruk terhadap kesihatan rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata menteri-menteri ASEAN perlu memberi perhatian serius terhadap isu berkenaan memandangkan jerebu boleh memberi kesan langsung kepada kehidupan masyarakat, khususnya bayi dan kanak-kanak.
“Masih ada ruang untuk penambahbaikan. Saya berpendapat menteri-menteri ASEAN perlu melihat perkara ini dengan serius kerana ia menjejaskan kehidupan, khususnya kanak-kanak dan bayi. Jika kita lihat keadaan di Serian, ia sememangnya membimbangkan,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Perladangan dan Komoditi di sini hari ini.
Kualiti udara di Serian, Sarawak dilaporkan kembali ke tahap bahaya apabila stesen pemantauan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) kawasan itu merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) mencecah 302, pagi ini.
Jumaat lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengisytiharkan darurat jerebu di seluruh bahagian Serian susulan pencemaran udara yang membahayakan kesihatan awam, sebelum pengisytiharan itu ditamatkan semalam.
Berita lanjut menyusul.
— BERNAMA


