Banjir Perak: Jumlah mangsa rekod penurunan pagi ini.

IPOH – Jumlah mangsa yang terjejas akibat banjir di Perak merekodkan 423 orang ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pagi tadi.

Jurucakap Sekretariat Jawatan Pengurusan Bencana Negeri berkata, ia menunjukkan angka penurunan berbanding tengah malam tadi iaitu 457 mangsa.

Katanya, setakat jam 8 pagi tadi, seramai 127 keluarga ditempatkan di tiga PPS di Daerah Hilir Perak, dan dua di Daerah Kerian.

“Di Hilir Perak, PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak menempatkan 169 mangsa daripada 52 keluarga; PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap menempatkan 70 mangsa daripada 24 keluarga serta 40 mangsa daripada 11 ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Chikus.

“Sementara di Kerian, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak menempatkan 87 keluarga daripada 21 mangsa serta PPS SK Alor Pongsu menempatkan 57 mangsa daripada 19 keluarga,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Selain itu katanya, berdasarkan kepada Data Aras Air Sungai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Bidor di Changkat Jong merekodkan aras bahaya iaitu 3.82 meter (m) sementara Sungai Kinta di Wier Tanjung Tualang mencatatkan aras waspada iaitu 13.19 m.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula meramalkan ribut petir berlaku pada sebelah petang sehingga malam pada semua daerah di Perak, kecuali Bagan Datuk diramalkan cuaca baik pada sebelah malam.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak turut memaklumkan Jalan Kubu Gajah Ijok-Sumpitan di Selama telah dibuka kepada semua kenderaan dan kerja-kerja pembersihan tanah runtuh sedang dilaksanakan, dan orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif di Jalan Pintasan Kampung Sumpitan-Kampung Masjid.

Di Kerian, FT147 Jalan Selama ditutup kepada semua jenis kenderaan berikutan kenaikan paras air di jalan terbabit, dan pengguna dinasihatkan menggunakan jalan alternatif A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah.

Pada masa sama, di Batang Padang, JKR Perak sedang menyegerakan kerja-kerja pembaikan bahu jalan di FT1152 FELDA Trolak Selatan yang runtuh memandangkan ia adalah jalan utama.

Sementara di daerah sama, pemasangan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) dibuat di FT 001 Jalan Ipoh-Tanjung Malim, dan laluan satu lorong dibuka kepada semua kenderaan awam.

Di Hilir Perak pula, A129 Jalan Langkap-Air Hitam dipasang papan amaran sementara, dan penggunaan diminta menggunakan jalan alternatif FT058.-MG Perak.

Artikel Berkaitan :

Lebih 500 mangsa banjir di Hilir Perak, Kerian

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI