Lebih 500 mangsa banjir di Hilir Perak, Kerian

IPOH – Jumlah mangsa banjir di Perak kini mencecah 507 orang daripada 155 buah keluarga membabitkan lima buah pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah setakat jam 8 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak, Teluk Intan, di Hilir Perak menempatkan jumlah mangsa banjir tertinggi melibatkan 165 orang daripada 52 buah keluarga.

Menurutnya, sebanyak 144 mangsa dari 46 buah keluarga pula ditempatkan di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap dan 44 mangsa (14 buah keluarga) di PPS Dewan Serbaguna Chikus di Hilir Perak.

“Manakala, 97 orang mangsa dari 24 buah keluarga pula ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak manakala 57 orang mangsa (19 buah keluarga) ditempatkan di PPS SK Alor Pongsu di Kerian,” katanya dalam satu kenyataan pada pagi Jumaat.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras Sungai Bidor di Changkat Jong berada pada tahap bahaya dengan mencatat ketinggian 4.12 meter (m) berbanding paras normal 2 m.

“Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang pula menunjukkan paras berjaga-jaga, dengan ketinggian 13.25 m berbanding paras normal 10 m,” ujarnya.

Sementara itu, Sekretariat turut memaklumkan Jalan Kubu Gajah Ijok-Sumpitan di Selama sudah dibuka kepada semua kenderaan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) namun orang ramai masih boleh menggunakan laluan alternatif di Jalan Pintasan Kampung Sumpitan – Kampung Masjid.

Katanya, laluan FT 147 Jalan Selama di Kerian masih ditutup kepada semua kenderaan kerana paras air semakin meningkat dan orang ramai diarahkan untuk menggunakan jalan alternatif di A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah.

“Bagi laluan FT 1152 Felda Trolak Selatan di Batang Padang, hanya satu lorong dibuka untuk kenderaan ringan sahaja manakala laluan A 129 Jalan Langkap – Air Hitam di Hilir Perak, satu papan tanda amaran sementara dipasang dan pengguna boleh menggunakan jalan alternatif di FT 058,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan, bagi laluan FT 001 Jalan Ipoh – Tanjung Malim hanya satu lorong dibuka untuk semua kenderaan. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI