Mangsa banjir di Perak menurun 496 orang

IPOH – Jumlah mangsa banjir di Perak menurun kepada 496 orang daripada 150 pada pagi Sabtu, berbanding 507 orang daripada 155 buah keluarga, semalam.

Kesemua mangsa banjir ditempatkan di lima buah pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Hilir Perak dan Kerian.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak berkata, PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak, Teluk Intan, di Hilir Perak masih mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi melibatkan 166 orang daripada 52 buah keluarga.

Bagaimanapun, menurutnya jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap menurun kepada 144 orang dari 42 buah keluarga manakala 46 mangsa (13 buah keluarga) di PPS Dewan Serbaguna Chikus di Hilir Perak.

“Jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dan PPS SK Alor Pongsu di Kerian pula masih sama seperti semalam,” katanya dalam satu kenyataan pada pagi Sabtu.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan hanya paras Sungai Bidor di Changkat Jong sahaja yang berada pada tahap bahaya dengan mencatat ketinggian 4.01 meter (m) berbanding paras normal 2 m.

Sementara itu, Sekretariat turut memaklumkan Jalan Kubu Gajah Ijok-Sumpitan di Selama sudah dibuka kepada semua kenderaan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan di kawasan tersebut.

“Orang ramai masih boleh menggunakan laluan alternatif di Jalan Pintasan Kampung Sumpitan – Kampung Masjid,” ujarnya.

Katanya, laluan FT 147 Jalan Selama di Kerian masih ditutup kepada semua kenderaan kerana paras air semakin meningkat dan orang ramai diarahkan untuk menggunakan jalan alternatif di A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah.

“Bagi laluan FT 1152 Felda Trolak Selatan di Batang Padang, hanya satu lorong dibuka untuk kenderaan ringan sahaja disebabkan keadaan bahu jalan yang runtuh.

“Manakala laluan A 129 Jalan Langkap – Air Hitam di Hilir Perak, satu papan tanda amaran sementara dipasang dan pengguna boleh menggunakan jalan alternatif di FT 058,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan, bagi laluan FT 001 Jalan Ipoh – Tanjung Malim hanya satu lorong dibuka untuk semua kenderaan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Lebih 500 mangsa banjir di Hilir Perak, Kerian

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI