Mangsa banjir di dua daerah di Perak terus menurun

IPOH – Jumlah mangsa yang terjejas akibat banjir di Perak terus merekodkan penurunan apabila 347 orang ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) pada pagi ini berbanding 349 orang pada malam tadi.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, seramai 101 keluarga ditempatkan di tiga PPS di Daerah Hilir Perak dan dua PPS di Kerian.

Katanya, bagi Hilir Perak, 168 mangsa dari 49 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak yang dibuka sejak tiga minggu lalu.

Menurutnya kesemua mereka dari 11 kawasan penempatan iaitu Lorong Kedah; Lorong Belakang Klinik; Batu 9, Simpang 3; Batu 10; Batu 7; Lorong Sidang Osman; Batu 9; Lorong Mesra; Batu 8; Lorong Sekolah, Kampung Sungai Kerawai serta Batu 7½.

“Sementara PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap menempatkan 65 mangsa dari 21 keluarga dari Kampung Tengah Air Hitam; Batu 9 Changkat Jong; Batu 8, Changkat Jong; Lorong Belakang Klinik serta Batu 7½, Changkat Jong.

“Manakala 34 mangsa dari lapan keluarga masing-masing dari Kampung Baru Ayer Hitam dan Batu 9 Simpang 3 ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Chikus,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jurucakap itu berkata, bagi Kerian, seramai 23 mangsa dari empat keluarga dari Kampung Matang Tengah; Kampung Changkat Lobak dan Kampung Berai dipindahkan sementara di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak.

Katanya, dalam daerah sama, PPS SK Alor Pongsu menempatkan 57 mangsa dari 19 keluarga dari Kampung Selekoh; Kampung Beriai; Kampung Parit Air Hitam 2 dan Kampung Parit Kalang.

Pada masa sama katanya, berdasarkan kepada maklumat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Bidor di Changkat Jong merekodkan paras amaran sementara sungai lain merekodkan bacaan normal, setakat pagi ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula meramalkan ribut petir berlaku pada sebelah petang sehingga malam terhadap semua daerah di Perak, kecuali Bagan Datuk yang diramalkan cuaca baik pada sebelah malam.

Selain itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak turut memaklumkan A 021 Jalan Kubu Gajah Ijok-Sumpitan di Selama telah dibuka kepada semua kenderaan dan kerja-kerja pembersihan tanah runtuh sedang dilaksanakan, dan orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif di Jalan Pintasan Kampung Sumpitan-Kampung Masjid.

Di Kerian, FT147 Jalan Selama ditutup kepada semua jenis kenderaan berikutan kenaikan paras air di jalan terbabit, dan pengguna dinasihatkan menggunakan jalan A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah sebagai laluan alternatif.

Pada masa sama, di Batang Padang, JKR Perak memaklumkan sedang menyegerakan kerja-kerja pembaikan bahu jalan di FT1152 FELDA Trolak Selatan yang runtuh memandangkan ia adalah jalan utama.

Sementara di daerah sama, pemasangan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) dibuat di FT 001 Jalan Ipoh-Tanjung Malim, dan hanya laluan satu lorong dibuka kepada semua kenderaan awam.

Di Hilir Perak pula, A129 Jalan Langkap-Air Hitam dipasang papan amaran sementara, dan penggunaan diminta menggunakan jalan alternatif FT058.-MG Perak.

Artikel Berkaitan:

Mangsa banjir di Perak menurun 496 orang

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI