Bantuan Makanan Percuma TCS manfaat 28,000 pelajar, libat RM3.91 juta

IPOH – Kerajaan Negeri Perak memperuntukkan RM3.91 juta bagi meneruskan program Bantuan Makanan Percuma Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) yang memasuki tahun keenam pelaksanaan bagi membantu calon peperiksaan awam di negeri itu pada tahun ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, program berkenaan melibatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dari sekolah menengah harian, Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) serta Sekolah Menengah Agama Rakyat di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk).

Menurutnya, pembiayaan makan tengah hari percuma ini juga sebagai usaha memberi keselesaan dan sokongan kepada pelajar sepanjang sesi pembelajaran.

“Seramai 28,000 calon SPM, STPM dan STAM sekolah harian termasuk SMTDR akan menerima bantuan makanan percuma pada kadar RM5 sehari selama 25 hari sepanjang tempoh kelas tambahan.

“Program berkenaan mendapat sokongan daripada lima syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu, Perbadanan Pembangunan Pertanian Perak (Perak SADC), Lembaga Air Perak (LAP), Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.), Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI), dengan jumlah sumbangan keseluruhan sebanyak RM3.91 juta.

“Yayasan Perak (YP) pula menyelaras penyaluran bantuan kepada sekolah mengikut jumlah murid yang terlibat, selain memastikan makanan yang disediakan sihat dan berkualiti.

Bantuan Makanan Percuma TCS manfaat 28,000 pelajar, libat dana RM3.91 juta
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bergambar bersama penyerah sumbangan daripada Syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) bagi program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) Bantuan Makanan Percuma Tahun 2026 pada Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat Perdana sempena Peperiksaan Awam Negeri Perak Tahun 2026 di Laman Seri Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 08 OKTOBER 2026.

“Semua ini kita lakukan kerana kita mahu memberikan sokongan sebaik mungkin kepada anak-anak. Kerajaan negeri menyediakan apa yang mampu, guru-guru mencurahkan ilmu dan ibu bapa pula terus memberikan dorongan serta doa.

“Selepas itu, anak-anaklah yang perlu menggunakan segala peluang dan persediaan yang ada sebaik mungkin,” katanya ketika berucap selepas Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat Perdana Calon Peperiksaan Awam Peringkat Negeri Perak 2026 di Laman Seri Ridzuan, malam tadi.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Datuk Khairudin Abu Hanipah dan Pengurus Besar YP, Dr Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan.

Dalam pada itu, Saarani memaklumkan, sepanjang tahun ini, kerajaan negeri bersama Jabatan Pendidikan Perak (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), YP serta pihak sekolah menggerakkan pelbagai inisiatif bagi membantu persediaan calon menghadapi peperiksaan.

“Antaranya termasuk Jelajah Nyalaan Bara Api yang melibatkan kira-kira 7,000 calon SPM di 12 daerah, YP Smart Target – Duta Harapan, Program Transisi Ke Arah Perak Sejahtera di 23 sekolah serta penyediaan buku rujukan tambahan percuma di bawah Program TCS.

“Kerajaan negeri turut menyalurkan RM2.3 juta kepada JPN, selain RM150,000 kepada setiap PPD bagi memperkukuh pelaksanaan program pemerkasaan pendidikan,” ujarnya.

Terdahulu, Saarani bersama 800 pelajar dan ibu bapa daripada 17 buah sekolah seluruh Perak menghadiri Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat Perdana bagi Peperiksaan Awam di lokasi yang sama. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

RM3.96 juta dana bantuan makanan percuma TCS untuk 27,432 pelajar

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI