IPOH – Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menyifatkan prestasi pembayaran balik pinjaman di bawah Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) setakat ini berada pada tahap yang memuaskan.
Pengerusi SPNB, Prof Datuk Dr Mohd Azmi Mohd Lila berkata, tiada sebarang isu ketara yang timbul dalam kalangan pemilik rumah untuk melunaskan bayaran bulanan sebanyak RM300 selama 16 tahun.
Katanya, meskipun terdapat situasi di mana peminjam berdepan dengan kesulitan dalam menjelaskan pembiayaan bulanan, namun secara umum ia tidak menjejaskan program RMR SPNB.
“Kita bukan seperti bank atau institusi perniagaan yang mengaut keuntungan, akan tetapi pendekatan kita lebih kepada pendekatan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Namun kita juga faham bahawa nilai RM300 itu besar jumlahnya bagi mereka yang kurang berkemampuan. Tambahan pula, tahap keupayaan dan kesihatan kita yang berbeza-beza (menjadi penghalang melunaskan bayaran balik).
“Walau bagaimanapun, kita sentiasa melakukan penilaian bagi memastikan sama ada mereka ini benar-benar mampu untuk membayar balik pinjaman, atau sebaiknya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Sentuhan Kasih Madani SPNB di Pasar raya Besar Mydin Meru Raya dekat sini pada Khamis.
Hadir sama, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng Shy Ching.
Pada majlis itu, SPNB menyerahkan surat tawaran program RMR kepada 30 pemohon, sumbangan RM5,000 kepada Yayasan Amanah An-Nur Maisarah serta sumbangan tunai kepada peserta RMR dan Orang Kurang Upaya (OKU).
Tambah Mohd Azmi, pihaknya akan sentiasa berusaha memastikan bayaran balik pinjaman dilakukan dengan baik kerana dana yang dikumpul akan digunakan semula bagi program RMR yang lain.
Mengulas lanjut beliau berkata, sebanyak 5,450 unit rumah di bawah program RMR disasarkan untuk dibina di seluruh negara pada tahun ini, dengan 849 unit telah diperuntukan di Perak.
“Sejak program RMR ini diperkenalkan pada 2002, sebanyak 69,848 unit telah dibina dan diserahkan kepada golongan yang memerlukan di seluruh negara. Bagi Perak sebanyak 7,355 telah berjaya dibina.
“Program ini bukan hanya sekadar memberi rumah kepada rakyat, tetapi juga memberi mereka peluang untuk memulakan kehidupan yang lebih baik, membina keluarga, dan berkembang dalam suasana yang lebih selesa,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: