Bazar Merdeka 2026 satukan seni, pendidikan dan komuniti di Kuala Kangsar

KUALA KANGSAR – Sambutan kemerdekaan di Bandar Diraja itu diterjemahkan melalui seni, kreativiti dan pendidikan menerusi penganjuran Bazar Merdeka 2026 di Galeri Seni Raja Shahriman, Bukit Chandan, di sini.

Mengangkat tema ‘Merdeka Through Art, Creativity & Community’, program berkenaan menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai latar menerusi aktiviti seni, pendidikan dan komuniti yang memberi peluang kepada peserta bukan sekadar melihat karya, malah belajar serta berkarya bersama.

Pengasas Pelita Hati, Raja Dr. Elina Raja Aziddin berkata, antara pengisian program adalah bicara seni bersama tokoh seni visual dan pengarca, Raja Shahriman Raja Aziddin, selain aktiviti ‘sketching’ dan kelas seni yang memberi peluang kepada generasi muda berinteraksi secara langsung dengan dunia seni.

Katanya, Raja Shahriman yang mempunyai identiti tersendiri dalam perkembangan seni kontemporari Malaysia turut membuka ruang kepada generasi muda memahami seni sebagai satu proses pemikiran, ekspresi dan keberanian untuk mencipta.

“Peranan institusi seni dalam aspek pendidikan, apresiasi karya, pendedahan kepada karya seni serta pembangunan ekosistem seni visual turut diketengahkan sepanjang sesi berkenaan.

“Galeri Seni Raja Shahriman di Bukit Chandan menjadi ruang pertemuan antara karya seni, pendidikan dan komuniti, sekali gus menjadikan sambutan kemerdekaan lebih dekat dengan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, penganjuran Bazar Merdeka turut membawa mesej keterangkuman dan tanggungjawab sosial apabila seni dijadikan medium untuk mendekatkan masyarakat serta membina keyakinan generasi muda.

“Seni mempunyai keupayaan untuk mendekatkan manusia, membina keyakinan dan membuka ruang kepada generasi muda mengenali potensi diri.

“Bazar Merdeka bukan sekadar tentang melihat seni. Kami mahu masyarakat datang, berinteraksi, belajar dan mencipta. Bagi kami, kebebasan berkarya juga merupakan sebahagian daripada semangat Merdeka,” katanya.

Katanya lagi, Bazar Merdeka 2026 bukan sekadar sebuah acara seni, sebaliknya menjadi wadah yang mempertemukan seni, pendidikan, warisan dan komuniti dengan Kuala Kangsar sebagai Bandar Diraja yang menyatukan nilai sejarah dengan kreativiti generasi masa kini.

“Menerusi pendekatan itu, semangat Merdeka diterjemahkan bukan hanya melalui kenangan terhadap sejarah, tetapi turut diteruskan menerusi keberanian mencipta, kebebasan berkarya dan peluang yang dikongsi bersama,” katanya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI