Belanjawan Perak 2025: Lima fokus utama dijangka diteruskan

IPOH – Kerajaan Negeri Perak dijangka meneruskan kesinambungan lima fokus utama iaitu kesejahteraan rakyat; tadbir urus projek berkepentingan; kelestarian alam sekitar; keterjaminan bekalan makanan dan pembangunan modal insan dan belia dalam Belanjawan Perak 2025.

Bercakap kepada MG Perak, Ketua Jabatan Ekonomi Fakulti Pengurusan Dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Zainizam Zakariya berkata, ia berdasarkan analisis Belanjawan Perak 2022 hingga 2024.

Bagaimanapun beliau berkata, beberapa penambahbaikan dijangka dilaksanakan kerajaan negeri dalam pembentangan yang akan diumumkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Jumaat ini.

“Untuk 2025, tumpuan-tumpuan ini perlu diteruskan, namun beberapa aspek perlu diberi penekanan tambahan sesuai dengan cabaran dan peluang semasa.

“Tumpuan keterjaminan bekalan makanan misalnya, perlu terus diperkasakan memandangkan Perak mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian lestari yang dapat menyumbang kepada kestabilan ekonomi dan keterjaminan makanan,” katanya.

Ketua Jabatan Ekonomi Fakulti Pengurusan Dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Zainizam Zakariya

Tambah beliau, usaha ke arah kelestarian alam sekitar juga dijangka dipertingkat kerana ia memerlukan tindakan segera dan proaktif untuk melindungi sumber semula jadi disamping mengurangkan kesan karbon.

“Tumpuan kesejahteraan rakyat juga diperlukan dan diberi keutamaan bagi mempercepatkan pemulihan sosioekonomi masyarakat pasca-pandemik memandangkan golongan B40 dan miskin bandar masih terkesan akibat COVID-19.

“Selain itu, aspek baharu yang dijangka diberi tumpuan dalam belanjawan 2025 mungkin kepada pemodenan infrastruktur digital dan fizikal,” katanya.

Jelas beliau, ini kerana infrastruktur digital amat penting untuk menarik pelaburan asing selain menyokong inovasi, manakala infrastruktur fizikal diperlukan untuk pembangunan wilayah.

“Pembangunan dan pelaburan modal insan seperti pemerkasaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam kalangan belia perlu bagi memastikan rakyat mampu menyokong transformasi ekonomi negeri,” katanya.

Terdahulu MG Perak melaporkan Belanjawan Perak 2025 yang akan dibentangkan Saarani pada 29 November bakal memberi pelbagai manfaat demi kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, ia bukan sekadar bersifat mesra rakyat malah turut selari dengan hasrat Pelan Perak Sejahtera 2030 yang mengutamakan pembangunan negeri dan rakyat yang mapan.

“Saya percaya Belanjawan Perak 2025 akan lebih banyak manfaat dinikmati rakyat Perak di mana kerajaan negeri prihatin kepada situasi semasa disamping memberi perhatian sewajarnya kepada kesejahteraan rakyat.

Gambar hiasan

“Menteri Besar dan barisan Exco telah bekerja kuat, ini termasuklah pergi kepada pelaburan-pelaburan dari luar (negara) demi mendapatkan hasil yang tentunya memberi banyak manfaat untuk dinikmati rakyat negeri ini,” katanya.

Tahun lalu, Kerajaan Negeri Perak membentangkan Belanjawan Perak 2024 berjumlah hampir RM1.35 bilion, tertinggi dalam sejarah dengan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM856 juta dan pembangunan RM491 juta.

Belanjawan yang bertemakan ‘Perak Makmur, Rakyat Sejahtera’ itu merangkumi lima fokus utama iaitu kesejahteraan rakyat, tadbir urus projek berkepentingan, kelestarian alam sekitar, keterjaminan bekalan makanan serta pembangunan modal insan dan belia.

Pelaksanaan Belanjawan Perak 2024 dirangka berdasarkan unjuran hasil dan terimaan pembangunan sebanyak RM1.28 bilion yang terdiri daripada hasil cukai (RM657.7 juta), hasil bukan cukai (RM392.2 juta), dan terimaan bukan hasil (RM192.6 juta) dan terimaan pembangunan RM37.0 juta.

Belanjawan Perak 2024 turut mengekalkan tema ‘Perak Makmur, Rakyat Sejahtera’ bagi menjamin kesinambungan pelaksanaan Pelan Perak Sejahtera 2030.

Ia selari dengan perspektif kerajaan negeri menerusi Perak Sejahtera 2030 melihat kepada kesejahteraan sosial untuk mengubah dan menjamin kesejahteraan individu dan masyarakat bagi meningkatkan kualiti serta tahap kepuasan kehidupan rakyat Perak dari aspek rohani dan jasmani.

Justeru itu, dalam usaha memastikan kesejahteraan sosial rakyat terpelihara, pada 2024 kerajaan negeri menerusi Pelan Perak Sejahtera 2030 memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek atau program berpaksikan rakyat yang bermatlamatkan Sejahtera Sosial.

Dua belas tema keberhasilan, iaitu Keselamatan Awam, Perumahan, Asas Kemasyarakatan, Pendidikan, Alam Sekitar dan Amalan Teknologi Hijau, Prasarana, Seni Budaya dan Warisan, Belia, Wanita, Keluarga, Warga Emas dan Orang Kurang Upaya, diletakkan di bawah sasaran Sejahtera Sosial dalam Perak Sejahtera 2030. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Belanjawan Perak 2025 mesra dan prihatin – Mohammad Zahir

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI