Bomba tubuh satu lagi pasukan MOSCAR di Merapoh

IPOH – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang berusaha menambah satu lagi Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung dan Gua (MOSCAR) di Merapoh, Pahang dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin berkata pihaknya dalam usaha mencari keahlian baharu untuk meningkatkan aspek keselamatan di kawasan gua khususnya menjelang Monsun Timur Laut (MTL).

Menurutnya, sebelum ini pasukan MOSCAR sudah ditubuhkan di Gunung Mulu, Sarawak dan Gunung Kinabalu, Sabah.

“Penubuhan pasukan khas yang kita namakan MOSCAR ini adalah satu inisiatif yang baik untuk meningkatkan ciri-ciri keselamatan khususnya pada musim tengkujuh ini.

“JBPM juga telah mengambil Langkah proaktif sebelum ini denghan mengadakan latihan-latihan penyelamatan di dalam kawasan gua,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 100 pegawai dan anggota bomba, 58 Sijil 30 Tahun Perkhidmatan dan Sijil Perkhidmatan Terpuji kepada 22 pegawai bomba bantuan (PBB) Tahun 2022 di Dewan Premier JBPM Perak di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Wahab berkata menjelang musim MTL ini JBPM diminta untuk memberi perhatian serius untuk memastikan tahap keselamatan dan kesiapsiagaan untuk menghadapi sebarang insiden yang memerlukan khidmat bantuan daripada mereka.

“Di samping itu, jabatan, agensi atau operator yang menguruskan kawasan gua dapat menyediakan menyediakan kemudahan asas seperti peralatan medik, pencahayaan dan alat menyelamat sekiranya berlaku kecemasan.

“Kebiasaannya pada musim tengkujuh ini keadaan akan menjadi gelap dan paras air akan meningkat lebih daripada biasa.

“Justeru, tragedi di Thailand (insiden 12 remaja dan seorang jurulatih bola sepak terperangkap dalam Gua Tham Luang pada Julai 2018) perlu diberi perhatian dan iktibar untuk memastikan kawasan-kawasan rekreasi yang melibatkan gua ini dipertingkatkan dari segi ciri-ciri keselamatan,” katanya.

Abdul Wahab berkata pasukan diminta memberi perhatian serius dan kalau boleh pelan laluan gua-gua ini dapat dipamer atau disimpan di balai. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI