KUALA KANGSAR – Projek Lebuhraya West Ipoh Span Expressway (WISE) kini melangkah ke peringkat pelaksanaan selepas berjaya memperoleh pembiayaan melalui terbitan sukuk bernilai RM5.55 bilion.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkembangan itu membolehkan projek berkenaan diteruskan selepas berdepan kekangan dari segi pembiayaan.
Menurutnya, projek lebuh raya berkenaan kini berada pada peringkat akhir mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan utama.
“Dulu kita kata dia (projek) itu sangkut sebab dia tak dapat funder (pembiaya), sekarang sudah selesai. Itu laporan yang ada pada saya dan saya rasa projek itu boleh diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata, projek itu dilaksanakan menerusi Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dan bukan menerusi dana kerajaan negeri.
Katanya, kerja-kerja berkaitan pengambilan tanah telah bermula dan fasa seterusnya akan melibatkan pembinaan.
Kementerian Kerja Raya (KKR) mempertimbangkan untuk memberi tempoh lanjutan enam bulan kepada syarikat konsesi yang terlibat dengan projek pembinaan Lebuhraya WISE selepas tempoh kelulusan prinsipal mereka tamat pada September 2026.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pada peringkat awal, KKR telah memberikan tempoh masa tertentu kepada syarikat terlibat bagi memastikan kewangan mereka mencukupi sebelum melaksanakan projek itu.
Lebuhraya WISE sepanjang 60 kilometer itu bakal dilengkapi tiga lorong dua hala, bermula dari Gopeng melalui Batu Gajah, Siputeh, Manong, Tronoh, Beko, Seri Iskandar dan seterusnya ke Kuala Kangsar serta dijangka menjadi alternatif laluan pengguna selain Terowong Menora. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


