KUALA KANGSAR – Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad menyempurnakan pelancaran Logo Pavilion Perak dan ‘Road To MAHA’ (Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia), pada Isnin.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun turut hadir ke majlis pelancaran yang diadakan bersempena dengan Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri di Dewan Jubli Perak, di sini.
Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Perak, Datuk Mohd Zaki Mahyudin; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pembangunan) Halizah Sipun serta Pengarah Pertanian Perak, Norsiyenti Othman.

Pada majlis, Saarani menyempurnakan pelepasan kenderaan jabatan dan agensi yang akan terlibat pada MAHA 2026 sepanjang tempoh penganjuran Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) Serdang, Selangor, pada bermula 28 Ogos hingga 6 September.
Antara kenderaan jabatan dan agensi terlibat adalah, Jabatan Pertanian Negeri, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perak, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.) Spritzer, Tourism Perak, dan sebagainya.

Selari dengan tema penganjuran edisi ke-14 iaitu ‘Penciptaan Nilai untuk Keterjaminan Makanan’, pelepasan itu juga sempena penyertaan negeri dalam mengetengahkan produk, usahawan, teknologi dan potensi sektor agro Perak.
Pada perkembangan berasingan, Saarani juga merasmikan Van Kaunter Bergerak Hasil Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar sebagai usaha meningkatkan kutipan hasil negeri.

Pada sidang media, Saarani berkata, ia merupakan sebahagian daripada peruntukan RM1.25 juta bagi lima van untuk Kuala Kangsar, Batu Gajah, Kerian, Bagan Datuk dan Perak Tengah.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk terus mendekati rakyat dan memudahkan akses kepada perkhidmatan kerajaan selaras dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Jabatan Pertanian Perak diminta kemuka cadangan bantu petani hadapi El Nino


