PARIT – Jabatan Pertanian Perak diminta mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri bagi mengurangkan beban para petani yang dijangka terjejas akibat fenomena El Nino berterusan menjelang hujung tahun ini.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, cadangan itu sedang dikaji dan diperhalusi jabatan berkenaan sebelum dibawa kepada kerajaan negeri untuk dipertimbangkan.
“Beberapa cadangan akan dikemukakan oleh Jabatan Pertanian kepada kerajaan negeri mengenai tindakan yang bersesuaian yang boleh dilaksanakan.
“Antaranya ada kemungkinan kita akan memberikan sumbangan ihsan sebagai tanda simpati kepada mereka yang terjejas dan perkara ini telah pun diambil tindakan oleh Jabatan Pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Jelajah Sejahtera Desaku @ DUN (Dewan Undangan Negeri) Bota 2026 di Rancangan Perumahan Awam (RPA) Gelung Pepuyu, di sini, pad Sabtu.
Hadir sama Pegawai Daerah Perak Tengah, Mohd Zaki Abdul Rahman; Pengarah Pertanian Perak, Norsiyenti Othman, serta Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak DUN Bota, Sarah Syazwani Saari.
Mohd Zolkafly berkata, kesan cuaca ekstrem akibat El Nino sudah mula dirasai di beberapa kawasan pertanian di negeri itu, khususnya yang membabitkan sektor penanaman padi.
“Memang ada kesan kerana kita tidak dapat mengelakkan keadaan cuaca ekstrem seperti El Nino.
“Saya sendiri telah melawat ke daerah Parit baru-baru ini, dan kita dapat melihat kesannya, termasuk pesawah berdepan masalah bekalan air yang tidak mencukupi untuk pengairan sawah,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, Pavilion Perak pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 bakal menampilkan kelainan berbanding penganjuran terdahulu dengan beberapa pengisian istimewa.
Mohd Zolkafly berkata, persiapan pavilion negeri berjalan lancar hasil kerjasama semua jabatan dan agensi terlibat, khususnya Jabatan Pertanian yang menyelaras penyediaan landskap serta kemudahan pameran.
“Memang ada kejutan dan perkara yang istimewa yang berbeza berbanding tahun-tahun lalu. Mudah-mudahan dengan kelainan yang kita bawakan tahun ini, Perak mampu meraih kejayaan buat kali ketujuh,” ujarnya.
Beliau berkata, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dijadual merasmikan Pavilion Perak pada 29 Ogos, manakala Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dijadual berkenan mencemar duli ke pavilion berkenaan pada 2 September.
MAHA 2026 yang dianjurkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dijadualkan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang pada pada 28 Ogos hingga 6 September. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
KPKM sedia hadapi kesan El Nino, pantau bekalan makanan – Mat Sabu


