IPOH – Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad menyeru penjawat awam supaya terus mengamalkan budaya kerja berteraskan penyelesaian, integriti dan tanggungjawab dalam memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Menurutnya, kejayaan sesebuah kerajaan bukan bergantung kepada pemimpin tertinggi semata-mata, sebaliknya hasil komitmen setiap penjawat awam yang melaksanakan amanah dengan penuh dedikasi.
“Jadilah penjawat awam yang sentiasa mencari jalan penyelesaian dan bukan menambah kerumitan yang membina dan bukan melemahkan serta jadilah pemimpin melalui teladan, walaupun tanpa jawatan atau pangkat yang besar.
“Sebuah kerajaan yang baik tidak hanya dibina oleh seorang Menteri Besar, seorang Setiausaha Kerajaan Negeri atau seorang ketua jabatan semata-mata.
“Ia dibina setiap hari oleh ribuan penjawat awam yang melaksanakan amanah mereka dengan jujur, cekap dan penuh rasa tanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak 2025 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Saarani berkata, penjawat awam di negeri ini memainkan peranan penting dalam memastikan kerajaan dapat berfungsi dengan baik dan rakyat dapat menerima perkhidmatan yang sewajarnya.
“Sebab itulah perkhidmatan awam bukan sekadar satu pekerjaan. Ia adalah amanah, tanggungjawab dan satu bentuk khidmat kita kepada rakyat dan negeri.
“Semoga semangat untuk memberikan yang terbaik ini akan terus segar dan subur dalam diri setiap warga perkhidmatan awam di Perak,“ ujarnya.
Pada masa sama, beliau berharap penjawat awam di negeri ini akan terus mengekalkan budaya kerja yang amanah, cekap, berintegriti dan sentiasa mengutamakan rakyat akan terus menjadi kekuatan kepada pentadbiran negeri ini pada masa hadapan.
Pada majlis itu, seramai 70 penjawat awam negeri ini menerima penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) melibatkan 65 penerima daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, tujuh penerima daripada Pejabat Kewangan Negeri Perak serta, buat pertama kalinya, tiga penerima daripada Lembaga Pengurusan Sumber Air (LPSA) Perak. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
APC perkukuh budaya kerja cemerlang, lahir organisasi profesional, berintegriti


