KUALA LUMPUR – Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kepimpinan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Terbaik Kategori Bandaraya sempena Anugerah Kecemerlangan (AKM) PBT 2023.
Hadiah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof yang mewakil Perdana Menteri dalam satu majlis di sini yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Rumaizi ketika ditemui MalaysiaGazette berkata, konsep bandar pintar yang digerakkan selama ini membuahkan hasil dan mendapat pengiktirafan menerusi anugerah tersebut.
“Yang kita bangunkan menjadikan Ipoh sebagai bandar hijau di peringkat Asia Tenggara dan yang pertama menggerakkan konsep bandar pintar di Malaysia.
“Awal tahun ini kita mendapat Anugerah PBT kedua terbaik dalam negara,” kata Rumaizi.
Penerima anugerah menerima penghargaan dan ganjaran dalam bentuk hadiah wang tunai bernilai sehingga RM20,000, sijil penghargaan, trofi dan kursus jangka pendek di universiti ternama di luar negara bagi kategori terpilih.
Pada malam anugerah, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) turut disenarai pendek bagi kategori Anugerah PBT Cemerlang.
Sebanyak 12 kategori AKM 2023 dipertandingkan merangkumi lapan anugerah bagi kategori individu dan empat anugerah bagi kategori berpasukan.
Anugerah tersebut seiring dengan kesungguhan meletakkan MBI dan Bandaraya Ipoh antara PBT dan Bandaraya Terbaik di Malaysia, seterusnya akan menjadi pemangkin kepada kejayaan lebih besar di rantau Asia. – MGPerak