Dua remaja ditahan bantu siasatan video tular tidak puas hati disaman trafik

IPOH – Polis menahan dua remaja lelaki bagi membantu siasatan berkaitan video tular menerusi laman sosial TikTok memaparkan individu mengeluarkan kata-kata kesat kerana tidak berpuas hati disaman oleh anggota trafik dalam operasi di Tanjung Piandang, Kerian.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Juna Yusoff berkata kedua-duanya ditahan di Kuala Kurau, semalam, selepas pihaknya mengesan video berdurasi 39 saat itu pada kira-kira 10 pagi, Khamis lepas.

“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian menahan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dipercayai individu mengeluarkan kata-kata kesat dan remaja lelaki berusia 17 tahun yang dipercayai memuat naik rakaman ke aplikasi TikTok bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Polis katanya turut menyita sebuah motosikal mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI