JKN Perak sahkan laporan pegawai klinik kesihatan kurang profesional

Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dr Sirajuddin Hashim berkata, ia susulan hasil siasatan yang dilakukan JKN berikutan laporan sebuah portal yang melaporkan insiden seorang pelanggan yang menerima layanan yang tidak profesional daripada seorang pegawai perubatan pada Ahad lalu.

Kata beliau, berdasarkan kepada siasatan pada Isnin mendapati seorang kanak-kanak yang mengalami demam, batuk dan selsema telah menerima rawatan di Klinik Kesihatan Menglembu pada Rabu minggu lalu.

“Pegawai perubatan tersebut telah diberi teguran supaya berkomunikasi dengan profesional dan melakukan pemeriksaan klinikal yang baik bagi semua pesakit yang hadir ke klinik kesihatan.

“Bagi memastikan tahap perkhidmatan yang baik dan mengelakkan kejadian yang sama berulang, JKN Perak telah mengarahkan supaya Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Menglembu menjalankan audit klinikal secara berkala.

“Ia untuk memastikan rawatan setiap pesakit yang diberikan berkualiti dan mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam satu kenyataan pada malam tadi.

Tambah Dr Sirajuddin, peringatan sama turut diberikan kepada semua fasiliti kesihatan di Negeri Perak.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan seorang ibu kesal dengan layanan kurang profesional yang diterima oleh seorang pegawai perubatan di sebuah klinik kesihatan.

Wanita itu dilaporkan berkata kejadian itu berlaku ketika membawa anaknya yang sedang sakit untuk menerima rawatan di premis berkenaan.

Selain didakwa bersikap sambil lewa, wanita itu mendakwa pegawai perubatan berkenaan turut menggunakan bahasa yang kurang sopan bagi merujuk kepada anaknya.

Laporan portal itu dipercayai merujuk kepada sebuah hantaran pada laman sosial TikTok yang dipercayai milik ibu kanak-kanak itu.

Ketika ditanya oleh salah seorang pengguna TikTok berkenaan lokasi klinik kesihatan itu, pemilik akaun itu mendakwa kejadian berlaku di Klinik Kesihatan Menglembu. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Dua remaja ditahan bantu siasatan video tular tidak puas hati disaman trafik

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI