TELUK INTAN – Dua remaja perempuan maut selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar sebuah kereta dipercayai hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan di Jalan Padang Tembak, di sini, petang Ahad.
Turut cedera seorang kanak-kanak lelaki yang berada di tepi jalan di lokasi terbabit akibat dirempuh kereta berkenaan.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, pihak polis menerima panggilan berhubung kemalangan jalan raya antara sebuah motosikal dan dua buah kereta di lokasi kejadian sekitar jam 6.35 petang.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta dipandu seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan di hadapannya
“Kereta yang dipandu suspek telah hilang kawalan sebelum melanggar sebuah motosikal dan sebuah kereta yang berada di hadapan serta seorang kanak-kanak lelaki yang berada di tepi jalan.
“Akibat kemalangan tersebut, dua remaja perempuan yang merupakan penunggang dan pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, kanak-kanak lelaki dan pemandu kereta berkenaan mengalami kecederaan dan telah dihantar ke Hospital Teluk Intan bagi mendapakan rawatan.
Katanya lagi, polis telah menahan lelaki berusia 28 tahun bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
“Mana-mana individu yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Amirrudin Shafiei di talian 013-9126959, atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Beliau turut menasihati para pemandu agar memastikan keadaan jalan benar-benar selamat sebelum melakukan tindakan memotong, mengelakkan pemanduan secara berbahaya serta sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah demi keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain
Terdahulu tular beberapa video di platform sosial media mendakwa dua pelajar sekolah meninggal dunia selepas didakwa dilanggar seorang lelaki dipercayai mabuk di Jalan Padang Tembak, berhadapan Sekolah Kebangsaan Seri Setia, di sini, petang semalam. -MG Perak


