Duda dituduh bunuh anak kekasih berusia dua tahun

PARIT BUNTAR – Seorang duda dihadapkan ke Mahkamah Majistret Parit Buntar pada Selasa atas tuduhan membunuh kanak-kanak lelaki yang juga anak kekasihnya berusia dua tahun, dua minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Haziq Mustapa, 26, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan dalam prosiding berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, pekerja kontrak itu didakwa melakukan kesalahan membunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Ayyash Aulian Muhammad Faizul.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Serai Permai, Bagan Serai dalam daerah Kerian antara 11 Oktober hingga 13 Oktober 2023.

Pertuduhan ke atas Muhammad Haziq dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor M Saravanan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 30 Januari 2024 sebagai sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia dan hasil bedah siasat.

Terdahulu media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia dengan kesan kecederaan seluruh badan dipercayai akibat didera.

Keadaan mangsa disedari ibu bapa tertuduh berusia 62 dan 57 tahun yang menemui kanak-kanak itu dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum menghantarnya mendapatkan rawatan di hospital.

Hasil bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh mendapati, punca kematian mangsa disebabkan pendarahan di kepala akibat hentakan objek tumpul selain melecur akibat objek panas dan kecederaan pada lubang dubur.

Siasatan polis mendapati, tertuduh telah mengambil kanak-kanak itu dari rumahnya yang terletak di kawasan perumahan sama untuk dijaga sementara. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI